SEBUAH mahkamah di China melaksanakan hukuman mati terhadap seorang lelaki yang didapati bersalah kerana membakar bekas isterinya semasa mangsa sedang bersiaran secara langsung di media sosial.
Lapor CNN, mahkamah rakyat perantaraan di wilayah autonomi Ngawa Tibet dan Qiang, China menerusi satu kenyataan memaklumkan pesalah yang dikenali sebagai Tang Lu sudah menjalani hukuman tersebut.
Tang membakar bekas isterinya pada September 2020 semasa mangsa melakukan penstriman langsung di aplikasi Douyin.
Douyin merupakan versi TikTok China yang dikendalikan oleh syarikat induk yang sama.
Wanita berusia 30 tahun itu dikenali dengan nama `Lhamo’, meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya beberapa minggu kemudian.
Dalam beberapa video pendek dan strim langsung, Lhamo menceritakan mengenai kehidupannya dan mempamerkan kawasan luar bandar Sichuan.
Lhamo merupakan etnik Tibet dan sering memakai pakaian tradisional dalam video tersebut.
Kempen berhubung kematian Lhamo semakin rancak apabila Presiden China, Xi Jinping menegaskan bahawa perlindungan terhadap hak dan kepentingan wanita ‘harus menjadi komitmen negara’.
Malah, beberapa tanda pagar diwujudkan termasuk #LhamoAct yang menggesa undang-undang membenarkan mangsa mendapatkan penceraian secara automatik, tersebar dalam media sosial.
Sementara itu, adik perempuan Lhamo memberitahu Paper, mangsa mengalami penderaan domestik oleh Tang selama beberapa tahun dan memutuskan untuk menceraikan suaminya.
Polis menahan lelaki itu beberapa hari selepas berita serangan itu tersebar.
Tang memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu namun kalah dalam permohonan pada Januari lalu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram