Cemburu sepupu isteri, lelaki cedera 'makan' penumbuk di Tanah Merah


  • 112
  • Isnin, 25 Jul 2022

Seorang lelaki bertindak menumbuk pipi kanan mangsa hingga bengkak dalam kejadian di Tanah Merah pada Ahad. — Sinar Harian

ANGKARA berang dituduh mengoda isteri orang lain, seorang lelaki bertindak menumbuk suami wanita berkenaan sehingga cedera dalam kejadian di Stesen Teksi di Tanah Merah, Kelantan pada Ahad.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, suami kepada wanita berkenaan bertemu dengan suspek yang berusia 42 tahun di rumah mangsa.

"Pertemuan itu telah menyebabkan berlaku perselisihan faham sehingga menyebabkan suspek bertindak menumbuk pipi kanan mangsa yang berusia 35 tahun menggunakan tangan kiri sebanyak sekali," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kejadian tersebut menyebabkan mangsa mengalami bengkak pada pipi kanan.

Katanya, perselisihan faham tersebut dikatakan berpunca daripada tuduhan suspek menggoda isteri mangsa sedangkan lelaki berkenaan menafikan perkara tersebut.

Muhamad Zaki berkata, suspek mengakui rapat dengan isteri mangsa disebabkan hubungan sepupu antara mereka.

"Suspek dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk diambil keterangan.

"Suspek mengaku berbuat demikian dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram