Demi pertahankan diri, ayah terpaksa tembak anak lelaki


  • Benua
  • Isnin, 25 Jul 2022

Penduduk sekitar berkumpul di hadapan rumah untuk melihat insiden itu. — Agensi

GARA-GARA ingin mempertahankan diri, seorang ayah di Kampung Moo 11 tambon Si Khit, daerah Sichon, Thailand terpaksa membunuh anak lelakinya.

Ruangrit Phromthong yang juga merupakan seorang penolong ketua kampung di kawasan itu menyerah diri kepada polis dan memberitahu anaknya yang terlebih dahulu bertindak ganas.

Menurutnya, anak lelakinya itu merupakan seorang penagih dadah dan sering bertindak ganas sebelum ini.

Kapten Polis Veerasak Malithong berkata, kejadian tembakan berlaku kira-kira 5.45 petang Ahad di hadapan sebuah rumah di kampung berkenaan.

Polis melaporkan bahawa sewaktu tiba di kawasan kejadian, Ruangrit dalam keadaan bersedia untuk menyerahkan senapang patah kepada pihak berkuasa.

Anak lelakinya, Adisak, 33, terbaring mati di hadapan rumah dengan kesan senapang patah di muka.

Ruangrit memberitahu polis bahawa Adisak sudah lama menjadi penagih dadah dan sering menyerang ahli keluarga apabila mengambil bahan terlarang itu.

Lelaki itu sebelum ini dipukul di kepala oleh Adisak dan dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pada Ahad, Adisak sekali lagi menjadi marah dan mula menyerang ahli keluarganya.

Menurut Ruangrit, anaknya itu berpaling ke arahnya dan menyerangnya dengan pisau di tangannya.

Demi mempertahankan diri, lelaki itu mengambil senapang dan melepaskan tembakan ke arah anaknya.

Ruangrit berkata, dia berbuat demikian untuk mempertahankan diri kerana risau anak lelakinya itu akan membunuhnya.

Sehingga kini, polis meneruskan penyiasatan mereka sebelum memutuskan tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap Ruangrit. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram