Kes bakar remaja di Kemanan, suspek positif syabu


  • 112
  • Ahad, 24 Jul 2022

Suspek (dua dari kanan) ditahan reman selama lima hari bermula Ahad bagi membantu siasatan kes bakar remaja lelaki pada Jumaat. — Sinar Harian

SEORANG penganggur direman selama lima hari bermula Ahad bagi membantu siasatan melibatkan kes bakar seorang remaja lelaki di Kampung Perasing Jaya, Jabor, dekat Kemaman, Terengganu, pada Jumaat.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman, bagi membolehkan siasatan dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dijalankan bagi cubaan membunuh.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan di kawasan Chukai, Kemaman, pada Sabtu.

"Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya ketika dihubungi pemberita pada Ahad.

Menurut Hanyan, polis turut menahan lima lagi suspek lain berusia lingkungan 18 hingga 25 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes sama.

Katanya, lima individu tersebut telah direman selama enam hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan.

Jumaat lalu, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun melecur pada bahagian leher hingga ke bahagian belakang badan, dipercayai dibakar beberapa rakannya yang menuduh mangsa mencuri wang RM100.

Remaja terbabit dipercayai disimbah minyak sebelum dinyalakan api.

Kejadian tersebut disedari ahli keluarga selepas remaja berkenaan pulang ke rumah kira-kira pukul 3 pagi dalam keadaan menangis dan meminta bantuan.

Remaja berkenaan yang melecur 40 peratus anggota badan kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram