Dituduh bunuh isteri ketua kampung, penganggur hanya mengangguk faham


Hakim Norakhmar Mohd Sani menetapkan 17 Ogos untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan dibenarkan memandangkan tertuduh turut berdepan tuduhan membunuh.

SEORANG penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh, Pahang pada Selasa atas tiga tuduhan termasuk membunuh isteri ketua Kampung Felda Mengkuang di Bera, Pahang dua minggu lepas.

Tertuduh K. Yogeswaran, 32, mengangguk faham ketika pertuduhan membunuh dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang beralamat di Kluang, Johor didakwa membunuh Siti Zulliana Said, 52, pada pukul 6.30 pagi hingga 8 pagi pada 5 Julai lepas, di rumah mangsa di felda tersebut.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, tertuduh mengaku bersalah atas dua lagi pertuduhan iaitu mencuri kereta Honda City milik suami mangsa, Mohd Haris Ibrahim, 58, yang didakwa dilakukan di tempat, masa dan tarikh yang sama dan menggunakan dadah methamphetamine yang dilakukan di lokap polis Ibu Pejabat Polis Daerah Bera, Pahang pada pukul 12 tengah hari, 8 Julai lepas.

Siti Hajar menetapkan 25 Ogos depan untuk sebutan semula kes bunuh bagi mendapatkan laporan bedah siasat selain 19 Oktober ditetapkan untuk sebutan semula kes dadah manakala 17 Ogos ditetapkan untuk kes mencuri kenderaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Nabilah Mohd Abd Wahab manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Temerloh, Pahang, Yogeswaran turut mengaku bersalah atas tuduhan merompak wang tunai RM9,300 milik Mohd Haris dan menyebabkan kecederaan di bahagian leher lelaki tersebut pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Khalilah Sabri mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Norakhmar Mohd Sani menetapkan 17 Ogos untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan dibenarkan memandangkan tertuduh turut berdepan tuduhan membunuh. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram