
SERAMAI 350 penduduk Rumah Pangsa Jasa, Johor Bahru, Johor berpeluang mengambil barangan keperluan harian dalam program anjuran Free Market Johor.
Selain makanan, program anjuran Free Market Johor itu turut menyediakan buku, pakaian dan mainan terpakai secara percuma.
Penyelaras Free Market Johor, Zaharah Raishan Mohd Yassin berkata, pihaknya menganjurkan program tersebut bertujuan untuk membantu mereka yang memerlukan sejak 2015 lagi.
"Kami kebiasaannya menganjurkan acara ini secara tiga atau empat bulan sekali di kawasan perumahan yang berbeza-beza.
"Kami turut menyediakan 26 gerai yang menawarkan pelbagai barangan secara percuma,” katanya.
Menurutnya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menerima sumbangan program dalam bentuk wang tunai ataupun barangan.
"Sebelum menganjurkan program di sesuatu kawasan atau tempat, kami akan menjalankan kajian untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang paling memerlukan,” jelasnya.
Antara yang mendapat manfaat ialah seorang suri rumah S. Subatra, 34, yang berpindah ke Rumah Pangsa Jasa, Johor Bahru, Johor sejak dua bulan lalu.
"Terdapat pelbagai jenis barangan keperluan harian untuk dipilih dan makanan serta sayur-sayuran mereka sangat segar," ujarnya.
Suri rumah, Noratifah Zakariah, 31, berkata, program yang dianjurkan itu banyak membantu mengurangkan bebannya.
"Saya suka anjuran program seperti ini, lagi-lagi mereka membenarkan kami memilih apa-apa sahaja barangan yang kami perlukan," luahnya.
Wakil jawatankuasa penduduk Jasa Flat, Norizam Tan berkata, majoriti mereka yang tinggal di kawasan tersebut adalah daripada keluarga golongan berpendapatan rendah.
"Barang-barangan yang diberikan oleh mereka membantu memenuhi keperluan penduduk di kawasan ini,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram