Projek perumahan baharu penjawat awam di Kota Tinggi siap sepenuhnya 2025


  • Primer
  • Ahad, 17 Jul 2022

Datuk Mohd Jafni Md Shukor (berbaju putih) semasa lawatan kerjanya ke Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Johor Bahru.

BAGI menampung permintaan perumahan penjawat awam, kuarters perumahan baharu untuk penjawat awam akan dibina di Bandar Tenggara, Kota Tinggi, kata Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor itu berkata, bangunan baharu tersebut juga akan menempatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tenggara yang dijangka beroperasi lebih awal iaitu pada hujung tahun ini.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kini sedang membangunkan projek perumahan untuk penjawat awam di bawah Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di Bandar Tenggara.

“Projek yang dinamakan Taman YPJ Punggai Pengerang itu kini 40 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025.

“Kementerian juga sedang membina balai bomba baharu di Bandar Tenggara yang mana ia hampir 95% siap dan dijangka siap dibina akhir tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerjanya ke Balai Bomba dan Penyelamat Larkin pada Ahad (17 Julai).

Taman YPJ Punggai Pengerang merupakan projek perumahan dua tingkat dengan 300 unit tersedia.

“Permohonan perumahan ini akan dibuka kepada semua dan tidak semestinya penjawat awam di kerajaan negeri atau persekutuan,” katanya lagi.

Mohd Jafni juga berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri mencadangkan untuk membina kuarters baharu di Balai Bomba Pagoh.

“Cadangan itu dibuat memandangkan terdapat banyak tanah kosong di belakang balai bomba, jadi kita harap kementerian dapat meneliti perkara ini,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram