Wanita disyaki bunuh suami di Johor direman seminggu


Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Sabtu bagi mendapatkan permohonan reman. — Sinar Harian

WANITA yang dipercayai membunuh suaminya dalam kejadian di Flat Nipah, Taman Daya, di Johor Bahru, Johor pada Jumaat, direman selama tujuh hari.

Perintah reman bermula Sabtu terhadap suspek berusia 36 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Melody Woon Sze Mun di Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Sebelum itu, suspek yang mengenakan t-shirt dan seluar berwarna jingga tiba di pekarangan mahkamah, dengan diiringi anggota polis pada pukul 8.45 pagi.

Pada Jumaat, seorang lelaki ditemukan maut dipercayai akibat dipukul isterinya, dalam kejadian di Flat Nipah, Taman Daya kira-kira pukul 7.50 pagi.

Mangsa ditemukan maut terbaring dengan bahagian muka dan kepala mengalami kecederaan itu, di dalam rumah berkenaan.

Menerusi kenyataan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat pada Jumaat, isteri mangsa ditahan berhampiran lokasi pembunuhan dan didapati berada di bawah pengaruh dadah.

Katanya, wanita yang bekerja sendiri itu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, selain mempunyai dua rekod lampau kes berkaitan dadah dan satu kes berkaitan jenayah (mendatangkan cedera).

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagi kes positif dadah pula, wanita itu disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram