Putuskan pertunangan, pemandu Viva remukkan 'King' Myvi milik bekas tunang di Sandakan


  • Tular
  • Sabtu, 16 Jul 2022

Tangkap layar video tular kejadian seorang lelaki melanggar kereta bekas tunangnya, dipercayai tidak puas hati gara-gara memutuskan ikatan pertunangan.

SEORANG lelaki didakwa tidak berpuas hati dengan bekas tunangnya kerana memutuskan hubungan, bertindak menghancurkan kereta jenis Perodua Myvi milik wanita tersebut di Sandakan, Sabah pada Jumaat.

Sebelum ini, tular video di media sosial pemandu jenis Perodua Viva mengundurkan kereta dan melanggar berkali-kali dengan niat untuk menghancurkan Myvi yang diparkir di kawasan tersebut.

Berdasarkan video berdurasi 30 saat yang dikongsikan oleh We are Malaysians di Facebook, kelihatan keadaan sisi dan hadapan kereta Myvi tersebut kelihatan agak teruk akibat daripada pelanggaran itu.

Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika wanita tersebut sedang keluar bersama rakannya yang mana membuatkan bekas tunangnya itu berasa cemburu sehingga melakukan perkara sedemikian.

Di ruangan komen Facebook pula, rata-rata orang ramai mengecam tindakan pemandu lelaki tersebut kerana tidak berfikir panjang dan terlalu mengikut emosi.

"Dengar cerita bekas tunang dia itu sekarang dah bertunang dengan lelaki lain sebab itu dia tak puas hati," ujar Destine Tiamut.

"Kenapa dia buat perkara yang merugikan, satu pemandu itu pergi rosakkan kereta sendiri dan kedua mesti selepas ini dia kena tangkap dengan polis sebab merosakkan harta orang lain," jelas Yun Kian Yk.

"Memang tengah rasa marah dan sedih, tapi tak perlu ikutkan sangat emosi itu nanti tak pasal-pasal jadi kes jenayah," jelas Nama Saiyya Daus.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pada Jumaat tular di media sosial sebuah rakaman berdurasi 30 saat mengenai sebuah kenderaan dengan sengaja dipandu melanggar sebuah kenderaan lain yang dalam keadaan parkir.

Menurutnya, mangsa wanita, 20-an yang juga pemilik kenderaan jenis Perodua Myvi tampil membuat laporan polis pada hari yang sama di Balai Polis Bandar Sandakan, Sabah.

"Hasil siasatan, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang di Bandar Indah, Sandakan, Sabah.

"Suspek lelaki, berusia 20-an, pada masa kejadian memandu kenderaan jenis Perodua Viva, yang juga bekas tunang kepada mangsa didapati dengan sengaja melanggar kenderaan suspek yang parkir di tempat letak kenderaan.

"Pada masa kejadian, mangsa tidak berada dalam kenderaannya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, bertindak atas laporan, polis menahan suspek pada pukul 11.15 malam hari yang sama.

"Motif sebenar kejadian dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati dengan mangsa, berikutan perhubungan pertunangan mereka yang putus.

"Suspek kini ditahan reman untuk siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Langgar, Cemburu, Putus Tunang, Sandakan, Sabah