Amy, teman lelaki dijangka dituduh di Mahkamah KL pada Rabu


  • 112
  • Selasa, 12 Jul 2022

Tangkap layar tindakan Amy di sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail yang didakwa menghina Islam baru-baru ini.

SIASATAN terhadap seorang wanita dikenali sebagai Amy yang didakwa menghina agama Islam dalam satu persembahan komedi di sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini telah dilengkapkan dan akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat Peguam Negara pada Selasa untuk menuduh suspek yang berusia 28 tahun bersama teman lelakinya.

Difahamkan, wanita terbabit akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu.

"Kertas siasatan polis telah dirujuk kepada pejabat Peguam Negara pada 12 Julai (Selasa) dan mendapat arahan untuk menuduh suspek di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan, manakala reman ke atas suspek yang tamat pada hari ini (Selasa) akan disambung sehari sehingga Rabu.

"Manakala teman lelakinya pula akan dituduh di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Media pada Isnin melaporkan teman lelaki suspek ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di ibu negara pada Ahad.

Pada Sabtu, media melaporkan PDRM telah menerima laporan selepas satu klip video berdurasi 54 saat memaparkan persembahan suspek di mana perbuatannya didakwa menghina agama Islam.

Sebelum itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dilaporkan telah menjalankan siasatan awal berhubung perbuatan suspek dalam persembahan berkenaan.

Video yang tular di media sosial itu menerima reaksi keras dalam kalangan warganet apabila suspek yang bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya menghafaz 15 juzuk al-Quran sebelum menanggalkan pakaiannya yang menutup aurat dan hanya meninggalkan pakaian yang mencolok mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram