PENDUDUK di Mont Kiara, Kuala Lumpur dikejutkan dengan satu kejadian kes tembakan pada Isnin malam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menerima makluman awal daripada orang awam berhubung satu kes tembakan bertempat di Amarin Kiara, Jalan Desa Kiara 1.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa mengunjungi rumah kenalannya di Amarin Kiara untuk bermain mahjung.
Mangsa ditemukan terbaring di sebelah keretanya dalam keadaan berlumuran darah. — Ihsan PDRM
"Selesai bermain mahjung, mangsa keluar dari rumah rakannya dan bergerak keluar ke kereta yang diparkir di luar kawasan Amarin Kiara.
"Saksi di tempat kejadian mengatakan ternampak mangsa melintas di hadapannya untuk ke tempat letak kereta," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Amihizam berkata, saksi kemudiannya terdengar bunyi tiga das tembakan dari arah tempat letak kereta mangsa.
"Saksi mendapati si mati terbaring di sebelah keretanya dalam keadaan berlumuran darah.
"Motif kejadian masih dalam siasatan. Pihak polis kini sedang giat mengesan suspek terlibat," tambahnya.
Katanya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian di atas boleh menghubungi talian Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram