Pindah kanser ke pokok, 'doktor tradisional' kongsi rahsia rawat pesakit


  • Tular
  • Isnin, 11 Jul 2022

Tangkap layar Pak Lang sedang 'memindahkan' ketumbuhan pada pokok dari seorang pesakit

KECOH di aplikasi TikTok rakaman video menunjukkkan seorang warga emas yang mendakwa dirinya sebagai pengamal perubatan Islam melakukan ritual membuang kanser payudara daripada seorang gadis.

Melalui video tersebut, perakam mendakwa lelaki warga emas yang dikenali sebagai Pak Lang 'memindahkan' barah payudara pesakit tersebut ke pokok.

Katanya, cara-cara buang dan pindahkan kanser payudara pada pokok.

"Banyak dah pokok ni tumbuh ketumbuhan kanser-kanser orang, dia (Pak Lang) tarik keluar kanser masuk ke pokok dan akan tumbuh benjol-benjolan yang ada pada pokok,"

"Dia terasalah tu, kalau dekat kanser payudara itu Pak Lang macam tarik keluar masuk ke pokok dan akan tumbuh lah benjol-benjolan yang ada,"katanya.

photo_6224296580396200229_y

Ketumbuhan yang dipindahkan Pak Lang daripada pesakit dikatakan membentuk benjolan pada pokok—TikTok

Dalam kejadian yang berlaku di Taman Samudera, Seri Manjung, Perak itu menunjukkan Pak lang sedang melakukan ritual dengan menggerak-gerakan tangannya sambil mulutnya dilihat terkumat-kamit membaca sesuatu.

Ritual tersebut didakwa berlaku di Taman Samudera, Perak. Video tersebut yang telah dimuat naik oleh Pak Lang sendiri menerusi akaun @paklang_perubatanislam telah mendapat tontonan sebanyak 1.2 juta dan mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Salah seorang pengguna akaun TikTok, @afiqrifqi0902 berkata, "Orang yang kena kanser atau keluarga terdekat sahaja akan faham macam mana rasanya. Selagi ada ikhtiar akan cuba termasuk ubat doktor. Nyawa oii nyawa. Sapa tidak sayang."

Manakala @fatinmunirah902 berkata, "Ya ALLAH, kalau macam ni baik tutup jerlah hospital tu..nanti jangan suruh anak jadi doktor dah sebab orang sudah tidak percaya jugak."

Dalam video berasingan yang dimuat naik Pak Lang menunjukkan gambar-gambar keadaan pokok dengan benjolan pada batang pokok tersebut yang didakwa merupakan ketumbuhan dan penyakit yang telah dipindahkan.

Rakaman video Pak Lang memindahkan kanser payudara seorang pesakit pada pokok. — TikTok

Majoriti pada masa sama telah menghubungi Pak Lang untuk mendapatkan penjelasan daripada pihaknya.

Menurut Pak Lang, amalan perubatan Islam yang yang diamalkannya itu diperturunkan oleh arwah datuknya dan sudah mengamalkan kaedah perubatan itu sejak 30 tahun yang lepas.

Ujar Pak Lang yang merupakan bekas tentera, dia menggunakan ayat-ayat al-Quran antaranya Surah Yunus.

"Contoh, kalau ada kanser Pak Lang akan 'pindahkan' ketumbuhan tu pada pokok. Ayat-ayat surah yang kami gunakan seperti Ayat 3 Qul (surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas).

"Untuk berubat ini selalunya akan ambil masa tidak sampai 10 minit, Pak Lang akan 'tarik' kanser dari badan pesakit tersebut dan pindahkan ke pokok,"katanya.

Kata Pak Lang, kaedah perubatan Islam yang digunakan itu adalah sebagai rawatan alternatif kepada pesakit yang mungkin buntu dan cuba untuk mencari rawatan lain.

"Niat saya hanyalah untuk membantu, kita ikhtiar dan usaha. Selebihnya bergantung pada ALLAH SWT.

"Saya tidak halang kalau pesakit nak jumpa doktor kerana itu pun satu usaha. Selain kanser, saya turut mengubati penyakit yang lain seperti buang bisul, tonsil, selain mengubati gangguan syaitan dan membuang saka.

"Dulu saya hanya bantu rakan dan kenalan yang terdekat tapi apabila dah tular di aplikasi TikTok ramailah yang datang berubat,"katanya.

Jelas Pak Lang lagi, dia hanya melakukan kaedah rawatan tersebut di rumahnya yang terletak di Manjung, Perak.

"Selalu pesakit akan datang jumpa kami dan proses rawatan akan dilakukan di sini," katanya sambul memberitahu, bayaran yang dikenakan bermula dari RM50. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram