POLIS menahan wanita yang didakwa menghina Islam ketika persembahan di kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin memaklumkan suspek direman selama tiga hari bermula pada Ahad hingga 12 Julai ini bagi membantu siasatan.
"Suspek kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields ketika ini dan siasatan masih diteruskan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dilaporkan menjalankan siasatan awal berhubung video tular tentang wanita yang didakwa menghina agama Islam itu.
Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, pihaknya menyedari video tular itu dan siasatan awal dijalankan oleh bahagian penguatkuasaannya.
Di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, menghina atau menyebabkan penghinaan terhadap Islam adalah satu kesalahan dan mereka yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, video berdurasi 54 saat menunjukkan seorang wanita ketika persembahan di kelab komedi di TTDI mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum tiba-tiba menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan aurat.
Laporan polis dibuat pada 9 Julai berhubung video yang tular di TikTok dan kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Khas Bukit Aman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan perpecahan dan mencetuskan kebencian di kalangan rakyat serta di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menyalahgunakan platform media sosial. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram