Sedar pintu rumah terbuka, nenek cemas cucu 18 bulan hilang di Beaufort


  • 112
  • Sabtu, 09 Jul 2022

Operasi mengesan mangsa dilakukan pasukan bomba dan agensi keselamatan lain serta penduduk kampung di Kampung Batu 66, Beaufort. — Sinar Harian

SEORANG bayi perempuan dikhuatiri hilang selepas dipercayai keluar dari rumah dalam kejadian di Kampung Batu 66, di Beaufort, Sabah pada Sabtu.

Jude Angel berusia 18 bulan disedari hilang kira-kira pukul 8.30 pagi oleh neneknya apabila mendapati pintu rumah terbuka dan mangsa tidak ditemui di sekitar kawasan rumah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Muhammad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.19 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, seramai enam anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 35 kilometer dari BBP Beaufort.

"Bapa mangsa memaklumkan dia dan isteri pada ketika itu sedang berniaga di Tamu Beaufort (pasar mingguan) dan anak bongsu mereka itu dijaga oleh mentuanya.

"Mentuanya menyedari bayi itu tiada di rumah dan pintu dalam keadaan terbuka pada pukul 8.30 pagi sebelum memaklumkan kepada mereka dan anggota bomba," katanya pada Sabtu.

Katanya lagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dimulakan pada pukul 12.30 tengah hari di sekitar tepi sungai dan kawasan kebun.

"Operasi SAR dipecahkan kepada tiga kumpulan yang turut dianggotai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort dan penduduk kampung.

"SAR dijalankan dengan menyusuri tepi Sungai Padas dan kawasan tanaman pokok pisang serta kelapa sawit pada radius dua kilometer.

"Pakaian terakhir yang dipakai mangsa adalah baju berwarna putih dengan lambang kartun dan berseluar warna biru," katanya.

Muhammad Hasbullah berkata, sehingga kini bayi itu masih belum ditemui dan maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram