PLUS nafi mesej tular R&R jadi sasaran 'longkai' cari mangsa


  • Massa
  • Selasa, 05 Jul 2022

Pasukan PLUS kerap membuat rondaan di NSE dan berada di situ untuk membantu pengguna jalan raya.

TERDAPAT mesej tular di WhatsApp mengatakan pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan (NSE) supaya jangan berhenti di hentian Rehat & Rawat (R&R) kerana mereka mungkin menjadi sasaran pengendali trak tunda dan mekanik tidak bertanggungjawab

Adakah ini benar? Menurut kenyataan PLUS Malaysia Berhad pada Selasa (5 Julai), perkara itu tidak benar.

PLUS berkata, ia sentiasa bekerjasama dengan polis untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya dikekalkan pada tahap tertinggi.

Sebahagian daripada usahanya termasuk melindungi pengguna jalan raya daripada menjadi mangsa sindiket sedemikian.

PLUS berkata, kira-kira 500 anggota pasukan peronda lebuh raya (PLUSRonda) yang ditubuhkan bersama polis, kerap membuat rondaan di NSE dan berada di situ untuk membantu pengguna jalan raya.

Selain pengurusan kemalangan, pasukan itu juga memantau kesalahan lalu lintas dan sebarang aktiviti haram lain di jalan raya.

PLUS menggesa pengguna jalan raya untuk menghubungi Pusat Pemantauan Trafik jika mereka mengalami sebarang kesulitan atau menyaksikan aktiviti haram di lebuh raya.

Pusat itu dibuka 24 jam sehari dan boleh dihubungi melalui talian hotline di 1-800 88 000. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram