Bintang Kedah berdoa keluarga, penduduk selamat tempuh banjir Baling


  • Podium
  • Selasa, 05 Jul 2022

Keadaan banjir menjejaskan penduduk setempat. — Bernama

HUJAN lebat berterusan selama lebih dari tiga hari berturut-turut telah menyebabkan banjir lumpur yang mengakibatkan ramai penduduk di daerah Baling, Kedah terjejas.

Kejadian itu dipercayai disebabkan oleh kegagalan kerajaan menangani masalah yang disyaki berpunca daripada aktiviti pembalakan dan projek durian Musang King di Gunung Inas, daerah yang sama.

Susulan kejadian itu, penduduk terlibat bukan sahaja terpaksa menggunakan bekalan air yang tercemar dengan lumpur dari Gunung Inas, malah mereka juga kehilangan sumber pendapatan.

Ancaman lumpur tersebut telah mengakibatkan tanah pertanian di kawasan kampung terlibat tidak boleh diusahakan sekali gus melumpuhkan sumber ekonomi jangka panjang penduduk.

Media turut melaporkan, pasukan penyelamat termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bomba menumpukan usaha pemindahan dan mengesan mangsa terperangkap dalam banjir melibatkan 11 kampung di Baling.

Antara kampung terlibat adalah kampung Bendang Padang, Kampung Iboi, Kampung Padang Ampang, Kampung Tok Saba, Kampung Hangus, Kampung Pisang, Kampung Sadik, Kampung Kitang, Kampung Tanjung, Kampung Lata Celak dan Kampung Badak Ampang.

Setakat ini, banjir itu sudah mengorbankan tiga nyawa iaitu seorang wanita hamil dan ibu mentuanya.

Tinjauan Majoriti di media sosial mendapati antara kalangan penduduk yang terjejas disebabkan bencana itu termasuk keluarga pemain Kedah, Muhammad Fayadh Zulkifli.

Penyerang pasukan Hijau Kuning tersebut berkongsi berita sedih yang menimpa keluarganya di akaun Instagram peribadinya dengan kapsyen, "Semoga Allah permudahkan urusan keluargaku dan warga kampung".

Perkongsian pertama dalam IG Story Fayadh. — Instagram

Muatnaik dari akaun rasmi @kedahdarulamanfc yang dikongsi semula Fayadh. — Instagram

Selain berkongsi kapsyen dengan latar belakang hitam berkenaan, pemain berusia 22 tahun tersebut turut berkongsi semula ucapan, "Pray For Baling" yang dimuat naik pada Instagram rasmi @kedahdarulamanfc.

Majoriti sedang cuba menghubungi Fayyad bagi mendapatkan keterangan lanjut mengenai situasi semasa keluarganya, namun masih belum menerima respons. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram