Penduduk mengeluh Sri Petaling bertambah sesak dengan pelbagai projek pembinaan


  • Primer
  • Selasa, 05 Jul 2022

Kawasan Sri Petaling kini sesak dengan kenderaan dan dijangka bertambah buruk dengan pelbagai lagi pembinaan bangunan tinggi.

KEKURANGAN tempat letak kereta dan kesesakan lalu lintas adalah perkara biasa di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Menerusi beberapa pembangunan hartanah baharu akan datang dan cadangan pasar malam, penduduk Sri Petaling bimbang keadaan akan bertambah buruk.

Mereka membantah tapak pasar malam yang dirancang dan pada masa sama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu mengurangkan pembangunan di kawasan tersebut.

Pengerusi Persatuan Penduduk Sri Petaling (SPRA), Tan Tai Tong berkata, perancangan untuk membenarkan peniaga pasar malam beroperasi di tempat letak kereta di sepanjang Jalan Radin Anum 4, Bandar Baru Sri Petaling hanya akan menambah kesesakan lalu lintas.

"Kami sudah ada pasar malam pada setiap Selasa di Jalan Radin Bagus 6. Jadi kenapa kami memerlukan satu lagi," katanya.

Tai Tong berkata, beberapa cadangan pembangunan di kawasan itu, termasuk dua projek binaan tinggi yang sedang dijalankan hanya akan meningkatkan populasi Sri Petaling.

"Infrastruktur semasa tidak dapat menampung jumlah kenderaan sedia ada di jalan raya.

"Di manakah penilaian trafik dan kesan sosial untuk projek ini?" katanya.

Pada Oktober 2021, katanya, SPRA menulis surat kepada Jabatan Perancang DBKL untuk mengurangkan nisbah plot cadangan projek rumah mampu milik 44 tingkat di Jalan Merah Silu daripada 800 orang untuk seekar tanah kepada 600.

Persatuan itu mencadangkan jalan keluar tambahan yang menghubungkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban bagi mengelakkan kesesakan di sepanjang Jalan Merah Silu dan Jalan Sri Petaling 2.

"Kami tidak menerima sebarang maklum balas sejak surat cadangan itu dihantar.

"Kami bimbang dua bidang tanah kosong di sepanjang Jalan Radin Tengah dan Jalan 3/149E boleh ditukar menjadi satu lagi projek binaan tinggi," katanya.

Tai Tong juga menegaskan bahawa kawasan hijau dan taman permainan perlu dibina memandangkan Sri Petaling kekurangan kemudahan itu.

Ahli jawatankuasa SPRA, Ganesan Yethiah berkata, pemandu kenderaan banyak meletakkan kereta mereka hingga menghalang laluan walaupun terdapat tempat letak kereta bertingkat di Jalan Radin Bagus.

"Mereka yang tidak dapat mencari tempat letak kereta akan mengelilingi kawasan komersial hinnga menyebabkan kesesakan," katanya.

Setiausaha SPRA, William Chan berkata, penjaja tepi jalan juga membina struktur kekal di rizab jalan yang hanya menambah lagi kesesakan di Sri Petaling. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram