Buih putih di Sungai Skudai resahkan penduduk setempat


  • Massa
  • Isnin, 09 Mei 2022

Tangkap layar video buih yang sempat dirakam penduduk setempat di Sungai Skudai, Johor Bahru.

KEMUNCULAN buih putih terapung di Sungai Skudai, dekat Johor Bahru, Johor menimbulkan keresahan penduduk setempat.

Pengasas Sungai Selamat Johor, Poh Pai Yik berkata, seorang penduduk memaklumkannya tentang buih-buih tersebut berhampiran Taman Impian Emas di Skudai pada Sabtu.

"Saya pergi ke tempat kejadian bersama Adun Skudai pada hari berikutnya dan mendapati, kebanyakan buih telah dihanyutkan selepas hujan lebat sehingga saya tidak sempat mendapatkan sebarang sampel.

"Berdasarkan rakaman video yang dihantar penduduk, buih itu mungkin dikeluarkan oleh kilang berhampiran yang menggunakan peluntur untuk mencuci barangan tetapi ia juga boleh dihasilkan oleh hidupan di sungai itu," katanya dalam satu temu bual pada Isnin.

Beliau memuat naik video itu di laman Facebooknya yang mana buih putih itu kelihatan terapung di atas sungai yang berwarna coklat.

Poh berkata, tiada ikan mati ditemui ketika pemerhatiannya di kawasan itu, selain menambah bahawa tiada kilang kimia yang beroperasi di sepanjang Sungai Skudai setakat pengetahuannya.

Katanya, sungai itu merupakan paling tercemar di negara ini.

Pencemaran di Sungai Skudai sebelum ini juga dilaporkan menjejaskan Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail.

Sementara itu, ketika dihubungi, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Kebudayaan Johor, K.Raven Kumar berkata, beliau telah melawat tapak itu bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri pada pagi Isnin untuk menilai dan menyiasat perkara itu.

"Menurut pengurusan LRA, gugusan buih yang ditemui di sungai itu tidak menjejaskan operasi kemudahan tersebut.

"Saya dan JAS akan menyiasat perkara itu bagi mengenal pasti punca pencemaran sama ada dari premis yang beroperasi di sepanjang sungai," katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai untuk melaporkan sebarang kes pencemaran kepada JAS melalui talian hotline bebas tol di 1-800-88-2727 atau e-mel ke [email protected] The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

buih, Sungai Skudai, JAS, Poh Pai Yik