ISU peningkatan harga barang ekoran daripada inflasi yang melanda dunia menjadi buah mulut masyarakat umum masa kini sehinggakan terdapat pelbagai khabar angin tersebar mengenainya di laman media sosial.
Lebih mengeruhkan keadaan, sesetengah perniaga turut mengambil kesempatan dengan mengenakan caj tertentu bagi mengaut keuntungan termasuk mengenakan caj RM0.30 sen untuk penutup kotak telur.
Perkara tersebut dikongsi seorang pengguna di laman Facebook bernama Siti Faerna Angah yang menyatakan rasa tidak puas hati dengan kelicikan peniaga yang difahamkan berlaku di sebuah pasar raya di ibu kota.
Sehubungan itu, pihak Majoriti melakukan tinjauan di pasar basah dan pasar raya besar sekitar Kajang, Selangor bagi melihat sama ada situasi yang sama berlaku di kawasan tersebut, terutama menjelang sambutan Aidiladha yang akan berlangsung pada Ahad depan.
Tinjauan mendapati rata-rata peniaga di pasar Kajang menggunakan harga standard yang ditetapkan kerajaan dan tiada caj tambahan dikenakan pada barangan sampingan atau caj memotong ayam.
Manakala, tinjauan di beberapa pasar raya besar di kawasan sama pula mendapati terdapat promosi yang dijalankan bagi menarik lebih ramai pengunjung untuk berbelanja di premis berkenaan.
Meskipun mengakui terbeban dengan peningkatan harga barang, pengguna Hanif Zulkifli, 33, berpendapat ahli masyarakat haruslah bijak dalam membuat percaturan ketika membeli-belah.
"Peningkatan harga barang memang menjejaskan saya. Terutama harga ayam yang semakin meningkat. Mujur, disini pasar Kajang ini mereka tidak caj harga potong ayam. Dulu, pernah mereka pernah caj tapi ia tidak kekal lama.
"Untuk telur, saya lebih suka beli telur di pasar borong. Sebab pada saya telur di pasar raya besar sangat mahal. Saya masih belum lagi tengok berapa harga telur di sini," katanya.
Hanif Zulkifli percaya pada kuasa membeli dalam kalangan pengguna. — Majoriti
Kenyataan tersebut disokong seorang lagi pengguna, Intan Diana, 30 yang turut mempraktikkan perbandingan harga di pelbagai tempat bagi memastikan dirinya mampu mendapat pembelian yang berbaloi.
"Masih ada barang yang dijual di bawah harga kawalan. Harga ayam dan minyak pun masih lagi ada promosi. Perubahan pun tidak begitu ketara. Pengguna masih lagi ada pilihan untuk beli mengikut kemampuan.
"Tadi, saya perasan juga yang telur gred C mahal sebab harga pun sudah mencecah RM12. Jadi saya tak beli dan mungkin akan cari di tempat lain nanti," katanya.
Intan Diana meninjau harga barangan sebelum membeli. — Majoriti
Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memutuskan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek botol tidak akan diteruskan bermula Julai.
Susulan itu, harga siling ayam bagi Semenanjung ditetapkan pada harga RM 9.40 sekilogram, naik 50 sen daripada RM 8.90, manakala, harga siling telur ayam pula naik antara 2 sen bagi setiap gred iaitu 45 sen sebiji bagi Gred A, 43 sen sebiji bagi gred B dan 41 sen sebiji bagi gred C. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram