Subsidi minyak masak paket kekal, botol dimansuhkan


  • Primer
  • Rabu, 22 Jun 2022

Objektif asal subsidi minyak masak itu pada mulanya diwujudkan untuk membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19. — Gambar hiasan

KEPUTUSAN kerajaan untuk memansuhkan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram bermula 1 Julai ini dibuat kerana banyak penyelewengan berlaku.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, objektif asal subsidi itu diwujudkan untuk membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 juga turut tersasar.

“Kita dapati, subsidi minyak ini banyak diselewengkan oleh pihak industri, komersial dan lebih mudah untuk diseludup keluar.

"Sehubungan itu, kerajaan membuat keputusan mulai 1 Julai 2022 untuk tidak lagi menyambung subsidi bagi minyak masak berbotol kerana tidak lagi menepati objektif awal program untuk membantu golongan terkesan ketika pandemik.

"Sekarang sudah tidak ada pandemik, maksudnya bukan tidak ada (Covid-19), kita sudah di fasa peralihan endemik. Jadi tiada keperluan lagi macam masa pandemik,” katanya pada sidang akhbar khas pada Khamis.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, subsidi minyak masak kampit akan diteruskan dan kerajaan yakin subsidi sebanyak 60,000 tan metrik sebulan adalah mencukupi untuk kegunaan Keluarga Malaysia.

Tambahnya, kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak dengan jumlah sebanyak RM4 bilion untuk 2022 bagi menanggung kategori minyak masak kampit satu kilogram.

Beliau berkata, program subsidi yang bermula sejak Jun 2007 itu merupakan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan bagi minyak masak kampit berharga RM2.50 satu kilogram untuk kegunaan Keluarga Malaysia golongan B40, berbanding harga pasaran sebenar iaitu RM9.00.

"Minyak masak yang disubsidi oleh kerajaan ialah sebanyak 60,000 tan metrik sebulan, melebihi daripada keperluan sebenar pengguna iaitu sebanyak 55,000 tan metrik sebulan," katanya yang turut menjelaskan mengenai kekeliruan berhubung subsidi minyak masak.

Menurutnya tahun lepas jumlah subsidi minyak masak yang ditanggung kerajaan adalah RM2.2 bilion manakala pada 2020 sebanyak RM500 juta. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

subsidi, minyak masak, mansuh, Ismail Sabri