MEMANDANGKAN rakyat Malaysia bersiap sedia untuk kenaikan harga barangan makanan penting seperti ayam, telur dan minyak masak, aplikasi penyemak harga yang dibangunkan oleh kerajaan, mungkin berguna untuk membantu mencari harga terendah yang tersedia.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggalakkan pengguna memuat turun aplikasi Price Catcher, yang membolehkan mereka membandingkan harga barangan tertentu dari pelbagai lokasi berbeza.
Sebagai contoh, pengguna boleh menyemak harga satu kilogram (kg) paha ayam dan membandingkan harganya di lokasi berlainan seperti kedai runcit, pasar raya dan banyak lagi. Harga akan dipaparkan mengikut kadar terendah hingga tertinggi.
Pengguna juga akan mendapat maklumat berdasarkan data lokasi mereka. Aplikasi itu membolehkan mereka melihat harga barangan dari pelbagai kedai e-dagang, walaupun pilihannya terhad kepada tiga platform sahaja.
Berdasarkan Facebook KPDNHEP pada 27 Jun, maklumat mengenai aplikasi itu dikemas kini setiap hari oleh pegawai pemantau harga berdasarkan semakan di pelbagai lokasi. Ia menambah bahawa aplikasi itu akan membantu pengguna membuat pilihan yang lebih baik sebelum berbelanja.
Price Catcher boleh dimuat turun secara percuma di Google Play dan Apple App Store.
Satu lagi aplikasi penyemak harga yang boleh dipertimbangkan oleh pengguna ialah Hargapedia.
Pengguna boleh menyemak harga barangan berdasarkan jenama tertentu dan mmbandingkan harganya daripada platform dalam talian seperti Shopee ke pasar raya seperti Jaya Grocer, Giant dan Lotus.
Aplikasi itu juga akan memaparkan tarikh untuk menunjukkan kesahihan harga.
Maklumat tersebut juga akan ditapis mengikut data yang diberikan oleh pengguna seperti lokasi, umur dan tahap pendapatan.
Penyenaraian harga penuh hanya tersedia kepada pengguna yang mendaftar aplikasi tersebut.
Hargapedia boleh didapati di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery.
Kerajaan mengumumkan berkuat kuasa Jumaat (1 Julai), ayam berharga RM9.40 sekilogram, naik 50 sen daripada harga siling sebelumnya.
Program subsidi sementara minyak masak dalam botol juga akan dihentikan mulai 1 Julai ini. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram