Dendam lama punca lelaki ditetak sekumpulan individu di PJ


  • 112
  • Sabtu, 02 Jul 2022

SEMUA suspek yang terlibat dalam serangan ke atas seorang lelaki direman selama empat hari.

DENDAM lama menjadi punca seorang lelaki ditetak hingga cedera parah oleh sekumpulan individu dalam kejadian di kawasan Sungai Way di Petaling Jaya, Selangor, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, tiga suspek dipercayai terlibat dalam kejadian itu telah diberkas pada Sabtu.

Katanya, tiga suspek lelaki berumur lingkungan 21 hingga 37 tahun itu diberkas antara pukul 12.30 tengah malam dan 2 pagi, di sekitar kawasan Sungai Way dan pekarangan sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

"Siasatan mendapati kejadian berpunca akibat dendam lama dan kesemua suspek direman empat hari," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut Mohamad Fakhrudin, semakan rekod turut mendapati tiga suspek itu mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau.

Pada Jumaat, seorang lelaki cedera parah akibat ditetak sekumpulan individu dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam di kawasan Sungai Way.

Isteri mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Petaling Jaya dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram