Tetak empat ahli keluarga, pemandu lori kena penjara 60 tahun, lapan sebatan


Mohd Hadi diiring oleh pihak polis di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada Selasa. — Sinar Harian

SUSPEK kes tetak ahli keluarga termasuk isterinya dijatuhkan hukuman penjara 60 tahun dan lapan sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor atas empat pertuduhan mendatangkan cedera dengan senjata pada 14 April lalu.

Tertuduh yang juga seorang pemandu lori, Mohd Hadi Hashim, 38, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Norsiah Ujang.

Norsiah dalam pendakwaannya memerintahkan tertuduh menghadapi hukuman 15 tahun penjara dan dua sebatan atas setiap pertuduhannya yang mana ia berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditahan.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Hadi didakwa telah mendatangkan cedera parah dengan senjata berupa parang panjang ke atas seorang wanita yang juga ibu mertuanya, Puasa Yasik, 57.

Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan sama bagi kesemua pertuduhan lain iaitu melibatkan mangsa Norwahida Rosli, 33 (isteri), Norwadiha Rosli, 32 (adik ipar) dan Mohamad Amirul Iskandar Kamaruzaman, 16 (adik ipar).

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan terbabit di sebuah unit rumah di Jalan Siakap 5, Kampung Sedili Kecil, Kota Tinggi sekitar jam 7.45 malam pada 14 April lalu.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula, tertuduh boleh dipenjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Irsyad Mardi manakala tertuduh diwakili Peguam, Nurshuhadah Mahzan.

Mengikut fakta kes, dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam itu, tertuduh didakwa mencederakan ibu mertuanya terlebih dahulu dengan menggunakan sebilah parang panjang berukuran 79 sentimeter sebelum menyerang adik ipar perempuan yang cuba menolongnya.

Tertuduh juga kemudiannya menyerang adik ipar lelakinya yang ketika itu cuba menghubungi pihak berkuasa dan terakhir sekali menyerang isterinya sebelum bertindak melarikan diri dengan menggunakan kereta jenis Honda Accord.

Sementara itu, dalam hujah rayuannya, Nurshuhadah yang mewakili tertuduh memaklumkan, tertuduh memohon agar hukuman penjara diringankan dengan tempoh paling minimum dan jika boleh berjalan serentak.

Peguam tertuduh juga memaklumkan, kejadian tersebut dipercayai berpunca akibat tertuduh yang hilang pertimbangan kerana sering diasak ibu mertuannya berkaitan wang berjumlah RM4,000.

Katanya, akibat keletihan kerana baharu pulang bekerja, tertuduh telah bertindak sedemikian dan perkara itu telah disesalinya sebelum menyerah diri secara sukarela di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai pada 20 April.

Bagaimanapun, dalam hujahannya, Muhammad Irsyad meminta agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana perkara itu adalah melibatkan nyawa selain faktor kepentingan awam yang lebih mustahak daripada kepentingan peribadi tertuduh. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram