
SEORANG penduduk di Jalan Ibukota 5, Danau Kota, Wangsa Maju, Kuala Lumpur mengakui tidak dapat tidur malam selepas keretakan mula kelihatan di dinding rumahnya.
Wanita berkenaan, Ng Khai Ly, 36, berkata, masalah itu bermula kira-kira tiga bulan yang lalu dan semakin teruk.
"Pertama, longkang di hadapan dinding mula runtuh dan saya menganggap perkara itu berlaku disebabkan pergerakan tanah.
"Ini menyebabkan rekahan terbentuk di sepanjang dinding dan ia menjadi lebih besar dari masa ke masa.
"Saya bimbang jika kerja-kerja pembaikan tidak dilakukan, rumah saya pula yang akan menerima kesan," kata ibu kepada tiga anak itu.
Khai Ly berkata, dia sudah dua tahun menyewa rumah tersebut dan tuan rumah juga telah membuat laporan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 13 Mei lalu.
"Ada beberapa anggota DBKL mengambil gambar longkang dan dinding yang retak tetapi tiada tindakan susulan yang diambil selepas itu," katanya.
Sementara itu, semakan StarMetro di portal Adu@KL, mendapati, terdapat pihak kontraktor yang telah diarahkan untuk mengambil tindakan berkaitan perkara tersebut.
Namun, status aduan itu tersebut dimaklumkan telah selesai tanpa sebarang maklumat berkaitan tindakan yang diambil. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram