Lelaki usia 41 tahun antara 3 ditahan gaduh guna botol arak, batang besi di Sri Petaling


  • 112
  • Jumaat, 01 Jul 2022

Tangkap layar video tular menunjukkan beberapa individu bergaduh dan merosakkan beberapa kereta di Sri Petaling.

POLIS menahan tiga lelaki dalam operasi di Brickfields pada Khamis, bagi membantu siasatan kes pergaduhan melibatkan dua kumpulan di Jalan Radin Bagus dekat Sri Petaling, Selangor pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, lelaki berusia antara 20 dan 41 tahun itu, ditahan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di Jalan Travers kira-kira pukul 9 malam.

Video pergaduhan itu tular di laman sosial Isnin lepas. Video itu menunjukkan beberapa individu bergaduh dan merosakkan beberapa kereta menggunakan botol arak dan batang besi, di kawasan itu.

"Polis sedang mengesan beberapa suspek yang masih bebas dan menggesa mereka yang terlibat dalam video tular tersebut, untuk tampil dan membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Amihizam berkata, ketiga-tiga lelaki terbabit direman empat hari bermula Khamis.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram