Wanita sakit asma kronik rela jadi gelandangan, tapi pelik si anak kerap datang minta duit


  • Tular
  • Khamis, 30 Jun 2022

Keadaan seorang wanita yang lebih rela tinggal di kaki lima kerana berasa selamat. — TikTok

BUKAN sahaja menjadi buah mulut warganet, tetapi usaha seorang wanita yang ingin membantu gelandangan di ruang depan deretan kedai turut mendapat perhatian pihak berwajib.

Dikenali sebagai Sally Ismail, niatnya memuat naik video mengenai seorang gelandangan di kaki lima premis bangunan bukan untuk menjatuhkan maruah mana-mana pihak.

Katanya, rakaman yang tular di TikTok itu sudah diambil sekitar sebulan lalu dan tujuannya hanya untuk mendapatkan jalan penyelesaian bagi membantu wanita berkenaan.

"Saya sudah berusaha untuk memujuk dan menunggu jika berpeluang berjumpa dengan anak wanita terbabit. Namun, sayang, sepanjang dua bulan (tempoh wanita itu berada di kaki lima) saya tidak berkesempatan.

"Niat untuk menolong. Secara peribadi pada pandangan saya tidak salah untuk menghantarnya ke rumah orang tua. Di sana beliau akan lebih terurus. Beliau juga difahamkan merupakan seorang pesakit asma kronik.

"Kadangkala apabila beliau mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh, beliau akan meminta pekerja sebuah kedai serbaneka untuk menjaga sebuah troli yang penuh dengan barangannya. Saya juga pernah diminta untuk berbuat begitu," katanya kepada Majoriti.

makcik4 (1)

Tangkap layar TikTok milik mamasally1975 yang menunjukkan seorang wanita gelandangan di Kota Damansara. — TikTok.

makcik2 (1)

Keadakan wanita gelandangan yang tinggal di hadapan sebuah kedai dobi. — TikTok

Kejadian yang berlaku di kawasan perindustrian Seksyen 8, Kota Damansara, Selangor itu kemudian mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Zakat Selangor dan wakil Masjid Kota Kemuning.

Bagaimanapun, wanita gelandangan itu enggan menerima pertolongan dan lebih rela tinggal di kaki lima kerana berasa lebih selamat dan selesa.

"Sebelum ini beliau tinggal di PPR Kota Damansara dan pernah muncul dalam rancangan Bersamamu. Ketika itu mereka tinggal di Seksyen 17, Petaling Jaya. Sejujurnya saya sendiri sudah mengenali wanita berkenaan sudah lama.

"Bukan kerana marah atau tidak suka kehadirannya di depan kedai, tetapi sebagai manusia kita tentu mahukan tempat tinggal yang selesa. Jadi sebab itu saya cuba untuk membantunya," terang Sally.

Menjalankan perniagaan cucian pakaian, Sally turut difahamkan oleh kakitangannya bahawa anak wanita terbabit ada beberapa kali datang untuk meminta wang dan ia dikhuatiri boleh membawa kepada kejadian tidak diingini seperti samun atau rompak.

"Kedai saya ada CCTV (kamera litar tertutup), jadi saya dapat lihat apa yang berlaku. Sejujurnya saya tidak faham mengapa dan bagaimana perkara ini boleh terjadi.

"Ada juga yang memaklumkan akaun TikTok anaknya kepada saya, dan saya dapati kehidupan baik. Jadi persoalannya, sebagai anak kenapa sanggup berbuat demikian kepada ibu sendiri," tambahnya.

Sally juga memberitahu, pihak JKM pernah tampil memberi bantuan sebelum video terbabit tular, namun pertolongan mereka ditolak kerana wanita itu yang lebih memilih untuk terus tinggal di kaki lima.

Difahamkan suami wanita gelandangan itu juga sudah meninggal dunia, namun tidak dijelaskan punca dan bila kejadian berlaku.

Dalam video yang tular, wanita berkenaan memberitahu enggan tinggal bersama anaknya yang sudah berkeluarga, malahan dia juga tidak setuju untuk dihantar ke rumah kebajikan orang tua.

Sebagai masyarakat prihatin, Sally mengharapkan nasib wanita gelandangan itu terbela dan mendapat bantuan sewajarnya daripada pihak kerajaan dan perkara tersebut sudah mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Damansara, Tuan Shatiri Mansor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram