BAU busuk dari sebuah bilik membawa kepada penemuan mayat seorang pelajar lelaki di dalam kolej kediamannya di Universiti Putra Malaysia (UPM), kira-kira 30kilometer dari Kuala Lumpur pada Selasa.
Ketua Polis Serdang Asisten Komisioner A.A.Anbalagan berkata, polis menerima laporan daripada Pusat Kawalan UPM berhubung penemuan mayat pelajar itu di sebuah bilik di Blok L6, UPM Serdang pada pukul 7.52 malam.
Beliau berkata, si mati merupakan pelajar Sarjana Sastera, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi semester enam (tahun akhir) berumur 29 tahun dan tinggal di bilik kolej kediaman itu seorang diri.
"Si mati ditemukan dalam keadaan tidak berbaju, berseluar panjang, dan dalam keadaan terlentang di atas lantai bersebelahan katil, dengan pintu bilik dalam keadaan berkunci serta tingkap tertutup rapat. Barangan berharga seperti komputer riba dan telefon bimbit masih ada di dalam bilik,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut Anbalagan berkata, polis masih menunggu laporan kimia untuk mengenal pasti punca kematian, namun setakat ini tiada unsur jenayah ditemukan, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
"Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram