Elanghovan rakyat Malaysia tertua takluk Everest pada usia 64 tahun


  • Massa
  • Sabtu, 25 Jun 2022

Elanghovan berdiri megah di puncak tertinggi Everest pada pukul 9.17 pagi waktu Nepal (11.32 pagi waktu Malaysia) pada 12 Mei lalu sekali gus sebagai rakyat Malaysia tertua menakluk Gunung Everest. — Bernama

PADA pukul 9.17 pagi waktu Nepal (11.32 pagi waktu Malaysia) pada 12 Mei, N Elanghovan berdiri megah di puncak tertinggi dunia dengan perasaan gembira dan apa yang lebih membanggakan lagi, menjadi rakyat Malaysia tertua menakluk Gunung Everest.

Bagi pesara Tenaga Nasional Berhad berusia 64 tahun itu, ia adalah 'satu misi terlaksana' selepas menetapkan impian untuk menakluk gunung tertinggi di dunia itu, kerana hanya menjejakkan kaki di 'Kem Induk' Everest pada 2014.

"Berdiri di puncak dunia adalah suatu yang sukar untuk digambarkan. Kejayaan merealisasikan impian saya ini seperti 'perasaan berada di puncak dunia'. Segala kerja keras dan pengorbanan yang dilakukan membuahkan hasil," kata lelaki yang lebih dikenali sebagai Elango itu.

Beliau dengan bangganya turut menunjukkan sijil bertarikh 14 Jun 2022, dikeluarkan Jabatan Pelancongan, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Penerbangan Awam Nepal, yang mengesahkan kejayaan pendakian ke puncak gunung setinggi 8,849 meter itu.

Elango telah mengemukakan permohonan agar pencapaiannya itu tercatat dalam Buku Rekod Malaysia (MBOR).

Dalam jawapan e-mel bertarikh 21 Jun, MBOR memaklumkannya bahawa panel hakimnya telah memberi lampu hijau kepadanya, untuk disenaraikan sebagai rakyat Malaysia tertua berjaya mendaki Gunung Everest pada usia 64 tahun.

Sebelum ini, rekod bagi kategori tu dipegang Allahyarham Idris Said dari Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Idris merupakan ahli ekspedisi Persatuan Kembara Negara (PKN) Everest pada 2007 dan mencapai kejayaan itu pada usia 52 tahun. Beliau meninggal dunia pada 1 Januari 2017.

Elango merupakan anggota pasukan ekspedisi tiga orang yang termasuk T. Ravichandran, 57, lebih dikenali sebagai Ravi Everest. Pendaki ketiga dalam pasukan itu ialah warga India yang berpangkalan di Amerika Syarikat Sidharth Routray, 40. Ketiga-tiganya berjaya sampai ke puncak Everest.

Ditanya mengenai misi seterusnya, Elango berkata, beliau merancang untuk menakluk G7 atau tujuh puncak di tujuh benua - dalam percubaannya untuk menakluk semua puncak tertinggi.

Dengan Everest di Asia dan Gunung Kilimanjaro di Afrika (5,895 meter) yang dilakukan pada Ogos 2016, Elango berhasrat untuk mendaki Gunung Aconcagua (6,961 meter) di Argentina, Amerika Selatan; Gunung Denali (6,194 meter) di Alaska, Amerika Utara; Gunung Elbrus (5,642 meter) di Rusia, Eropah; Gunung Vinson Massif (4,892 meter) di Antartika dan Gunung Kosciuszko (2,228 meter) di Australia. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

gunung everest, tertua, elanghovan