Penagih tempatan mati mengejut dalam tahanan polis


  • 112
  • Rabu, 22 Jun 2022

Lelaki berkenaan terlebih dulu cuba menggantung diri di lokap tersebut namun berjaya diselamatkan.

SEORANG tahanan polis warga tempatan mati mengejut pada Isnin selepas menerima rawatan di Hospital Shah Alam, Selangor.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki berumur 39 tahun itu ditahan di Lokap Berpusat Shah Alam pada 15 Jun bagi siasatan di bawah Sekyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

Beliau berkata, lelaki berkenaan cuba menggantung diri di lokap tersebut namun berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan pada Isnin.

"Dia dirawat di Hospital Shah Alam mulai 15 Jun, namun pada 20 Jun pukul 5.40 petang, pegawai perubatan mengesahkan bahawa lelaki itu meninggal dunia di hospital tersebut.

"Punca kematian belum diketahui dan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, Shah Alam, tahanan, mati mengejut