Penduduk Sekuau gesa Felcra henti operasi selepas gagal bayar dividen


  • Massa
  • Jumaat, 17 Jun 2022

Penduduk selepas membuat laporan polis di Balai Polis Stapang, Sabah.

KIRA-KIRA 400 penduduk Skim Penempatan Sekuau, Sibu, Sabah menggesa Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) menghentikan operasi dan berpindah dalam tempoh tujuh hari kerana gagal membayar dividen skim perladangan kelapa sawit.

Penduduk yang terdiri daripada 24 buah rumah panjang mendakwa mereka hanya menerima empat kali bayaran dividen dalam tempoh 25 tahun selepas menyertai skim itu.

Pengerusi Majlis Kemajuan Keselamatan Sekuau, Henry Kanyan berkata, satu tunjuk perasaan akan diadakan jika Felcra enggan memenuhi tuntutan dan meneruskan operasi.

"Kami memberi Felcra tujuh hari mulai hari ini (Jumaat) untuk menghentikan operasi dan berpindah," katanya.

Tambah beliau, ahli sudah mengadakan pertemuan dengan Felcra mengenai pembayaran dividen, namun tidak menunjukkan sebarang reaksi positif.

"Tahun lalu, enam mesyuarat telah berlangsung. Kami tidak akan berjumpa dan berbincang dengan Felcra lagi kerana mesyuarat sebelum ini tiada perkembangan.

"Pertemuan terakhir kami dengan pengurus ladang ketika sebelum sambutan Gawai yang mana kami dijanjikan dividen, tetapi sehingga kini masih tiada menerima apa-apa," ujarnya.

Paling mengecewakan, setiap kali topik pembayaran dividen diajukan, Felcra akan memberi alasan bahawa mereka tidak diwajibkan untuk membayarnya kerana tiada sebarang perjanjian kontrak dibuat.

Namun, menurut Kanyan, Felcra telah mendapat manfaat daripada menggunakan tanah peserta seluas 900 hektar untuk ladang kelapa sawit.

Perkara itu sekali gus membuatkan Felcra seharusnya membayar sejumlah dividen kepada mereka.

"Setiap bulan Felcra menuai sehingga 2,000 tan tandan buah segar. Mereka tidak pernah memberitahu kami berapa dividen yang kami layak kerana alasan mereka ialah tiada perjanjian rasmi dibuat untuk penggunaan tanah kami untuk ladang.

"Empat kali mereka membayar kami adalah mengikut kehendak dan kemahuan mereka. Seramai 404 penduduk diberikan tanah oleh kerajaan negeri pada 1972 untuk tujuan penanaman," ujarnya.

Pada 1993, Felcra mula menanam cili, koko dan kemudian kelapa sawit kerana mereka dilantik oleh kerajaan persekutuan untuk meningkatkan taraf hidup.

Pada 16 Jun (Khamis) lalu, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Stapang berhubung hal tersebut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram