NEGARA kehilangan seorang patriot hebat dan wira tidak didendang apabila bekas pelari pecut Olimpik, Datuk Zainuddin Abdul Wahab meninggal dunia pada usia 74 tahun baru-baru ini, kata seorang bekas rakan sekerjanya.
Mantan Ketua Staf Perisikan ESSCom, Datuk Hashim Justin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Hashim berkata, Zainuddin dipercayai meninggal dunia akibat penyakit sistem pernafasan di hospital daerah Tenom, Sabah pada Selasa.
Allahyarham berasal dari Labuan tetapi tinggal di Tenom yang merupakan kampung halaman pasangannya.
"Beliau pernah menjadi rakan sekerja saya ketika bertugas di Jabatan Jenayah Kota Kinabalu pada 1986.
"Beliau adalah pegawai atasan dengan pangkat Asisten Superintendan Polis (ASP), manakala saya seorang inspektor pada masa itu.
"Takziah kepada keluarga, rakan-rakan dan warga komuniti yang berkabung atas kehilangannya," kata Hashim pada hari Ahad.
Laman Facebook Alumni Polis Sabah juga membuat hantaran berkenaan Zainuddin yang mana mengingatkan bahawa beliau adalah antara orang Sabah terawal yang mewakili Malaysia dalam Sukan SEAP (Semenanjung Asia Tenggara).
Beliau mewakili negara sebagai pelari pecut dalam Sukan SEAP pada 1967 (Bangkok), 1969 (Rangoon) dan 1971 (Kuala Lumpur).
Beliau juga mewakili Malaysia dalam Sukan Asia Bangkok pada 1970 dan Sukan Olimpik Munich pada 1972.
"Beliau banyak menyumbang kepada masyarakat dalam pelbagai kapasiti sebagai anggota polis sehingga bersara," jelas hantaran itu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram