Tiada unsur jenayah kebakaran di Pasar Datuk Keramat


  • 112
  • Ahad, 12 Jun 2022

Kesan kemusnahan premis di Pasar Keramat, Kuala Lumpur selepas kejadian kebakaran pada Sabtu. — Sinar Harian

TIADA unsur perbuatan khianat yang mengaitkan punca kebakaran di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, pemeriksaan telah dijalankan pihak forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba di lokasi kejadian.

"Siasatan awal dilakukan di lokasi kejadian mendapati tiada unsur-unsur yang dikesan ke arah perbuatan khianat.

"Tiada bahan bakar dikesan yang menjurus kepada perbuatan terbabit. Kita akan jalankan pemeriksaan lanjut berkenaan bekalan dan penyambungan pendawaian elektrik di lokasi berkenaan," katanya pada Ahad.

Beliau berkata, bagaimanapun, pihak bomba masih menunggu laporan penuh bagi menentukan punca sebenar kejadian kebakaran itu.

Pada Sabtu, Pasar Datuk Keramat, terbakar sekali lagi dalam kejadian awal pagi selepas insiden sama berlaku pada Mac 2021.

Ketua Komander Operasi, Mohd Fahmi Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 1.30 pagi Sabtu sebelum 47 anggota dari Balai Bomba Polis (BBP) Keramat, BBP Hang Tuah, BBP Wangsa Maju, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Setapak bersama lima jentera ‘Fire Rescue Tender (FRT)’ dikejarkan ke lokasi.

Kebakaran melibatkan lot kedai dengan anggaran kemusnahan 50 peratus disebabkan bahan binaan terdiri daripada kayu serta sebahagian rumah berhampiran dianggar mengalami kemusnahan 10 peratus. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram