PdPR buka mata ramai pihak


  • Massa
  • Ahad, 05 Jun 2022

Pelbagai pihak harus bersedia sekiranya PdPR terpaksa dilaksanakan semula pada masa mendatang. — Gambar hiasan

JIKA diimbau semula, Pengajaran dan Pembelajaran di bilik darjah atau PdPR pernah dilaksanakan sejurus kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020 gara-gara pandemik Covid-19.

Sebelum tarikh tersebut, tidak pernah terfikirpun di benak kita bahawa guru-guru dan para pensyarah Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) akan menjalankan pengajaran dan pembelajaran dalam talian dari rumah masing-masing.

Perubahan singkat ini telah menyebabkan situasi cultural shock atau kejutan budaya dalam kalangan para pensyarah, pelajar, murid-murid dan ibu bapa.

Mana tidaknya, notis yang agak singkat memerlukan para pensyarah, guru, pelajar dan murid serta ibu bapa melakukan penyesuaian dengan norma pengajaran dan pembelajaran yang serba baharu. Mahu tidak mahu, pengajaran dan pembelajaran dalam talian perlu diteruskan kerana keberadaan fizikal di bilik darjah dan bilik kuliah adalah mustahil ketika pandemik melanda.

Walaupun, keadaan cultural shock berlaku, namun semua pihak telah berganding bahu dengan pantas untuk memulakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.

Baik pentadbir, guru-guru, pensyarah, pelajar-pelajar dan murid-murid serta ibu bapa telah memainkan peranan masing-masing. Maka terserlahlah pelbagai manfaat di sebalik musibah yang melanda negara dan dunia secara umumnya. Para guru, pensyarah, pelajar, murid hatta ibu bapa juga mula menjinakkan diri dengan pelbagai perkakasan teknologi seperti komputer, internet platform google meet, zoom, microsoft teams, google classroom, webex dan pelbagai lagi.

Sementara itu, pihak pengurusan sekolah dan universiti pula sibuk menggubal kurikulum dan pentaksiran baharu yang sesuai untuk PdPR. Ada universiti yang bergerak pantas mengubah pentaksiran kursus pelajar yang lebih sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran dalam talian.

Jumlah pentaksiran semasa pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka telah dikurangkan dan disesuaikan dengan situasi pembelajaran dalam talian. Usaha sebegini patut diberi pujian kerana telah memudahkan pelajar untuk lulus dengan cemerlang walaupun berhadapan dengan situasi pandemik.

pdpr

Wajar atau tidak PdPR dilaksanakan semula selepas ini? — Gambar hiasan

Pihak kerajaan turut memainkan peranan mereka dengan menyalurkan pelbagai bantuan seperti Bantuan Prihatin Rakyat, Bantuan Sara Hidup, i-Lestari dan i-Sinar untuk membantu rakyat. Sekurang-kurangnya bantuan ini dapat digunakan perkakasan dan peranti yang sesuai untuk PdPR. Pihak Kementerian Pendidikan juga turut mengambil inisiatif menggalakkan guru cemerlang memuat naik slide pengajaran dan pembelajaran di YouTube dan di stesen televisyen melalui siaran TV Pendidikan. Dalam masa yang singkat, senario pendidikan di negara kita malah di dunia telah berubah. Setiap rumah pasti ada komputer atau telefon pintar yang boleh digunakan untuk anak-anak menjalani PdPR.

Namun, cabaran tetap menanti di sebalik pelbagai manfaat yang dikecapi oleh semua pihak semasa menjalani PdPR ketika pandemik Covid-19 tempoh hari. Umum mengetahui bahawa, pelaksanaan PKP dilaksanakan secara tiba-tiba pada 18 Mac 2020.

Sebelum ini, kita tidak pernah berhadapan dengan situasi pandemik hingga terlaksananya PKP. Ketika PKP, segala-galanya berubah sekelip mata. Pergerakan semua pihak adalah terhad. Malah, industri dan sistem pendidikan turut ditutup sehingga memaksa semua pihak bekerja dan belajar dari rumah.

Pada ketika itu, penggunaan peranti canggih seperti komputer dan telefon pintar amat diperlukan untuk belajar dan bekerja dari rumah. Begitu juga dengan talian internet yang pantas. Malangnya, ramai murid sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi yang tidak berkemampuan untuk menyediakan segala kelengkapan ini. Maka, terjadilah situasi pelajar ketinggalan pelajaran kerana tidak dapat mengikuti PdPR.

Selain tidak mampu menyediakan peranti seperti komputer dan telefon pintar, masalah talian internet juga merupakan cabaran kepada PdPR. Ramai pelajar dan murid yang tinggal di kawasan pedalaman misalnya di Sabah dan Sarawak sering menghadapi kesukaran mendapatkan talian internet.

Kebanyakan pelajar dan murid di kawasan pedalaman tidak mempunyai capaian internet. Jika adapun, capaian tersebut terlalu lemah. Oleh itu, terdapat situasi yang mana pelajar dan murid terbabit terpaksa memanjat pokok dan keluar jauh dari kawasan tempat tinggal mereka semata-mata untuk mendapatkan capaian internet bagi mengikuti PdPR.

Melalui laporan Berita Harian pada 24 Januari 2021, PdPR memberi cabaran kepada pelbagai pihak termasuk ibu bapa, guru dan murid. Seorang guru di sebuah sekolah di Putrajaya berkata, kehadiran kelas dalam talian dalam kalangan murid daripada kelas “belakang” dilihat agak rendah.

Sebagai contohnya, kehadiran murid kelas “hadapan” ialah 24 daripada 27 orang keseluruhan. Namun, kehadiran kelas “belakang” dilihat hanya enam daripada jumlah 19 orang. Oleh itu, murid yang bijak dilihat akan “selamat” dan yang lemah pula terus ketinggalan. Perkara ini berpunca daripada sikap murid yang tidak bersemangat apabila mengikuti PdPR. Jika di sekolah, guru boleh memanggil murid-murid ini secara bersemuka dan memberi motivasi.

Cabaran lain PdPR pula, ialah sukar memantau disiplin dan tumpuan murid. Dalam hal ini, terdapat dalam kalangan murid yang mengaku membuka dua paparan pada komputer riba, iaitu satu untuk kelas dalam talian dan satu lagi bagi “melayan permainan dalam talian”.

Selain itu, murid-murid sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi juga menghadapi cabaran gangguan bunyi bising di rumah ketika sedang mengikuti PdPR. Perkara ini sering berlaku dalam kalangan murid-murid dan pelajar yang mempunyai adik-adik yang masih kecil. Kanak-kanak kecil ini biasanya gemar membuat bising di rumah atau menangis dan ini tentu sahaja mengganggu PdPR kerana pelajar sukar mendengar suara guru dalam talian.

Seterusnya, ada pelajar dan murid yang mengikuti PdPR melalui telefon bimbit kerana tidak mempunyai komputer di rumah. Jika ini berlaku, tidak semua yang guru ajar dapat difahami dengan jelas kerana skrin telefon bimbit kecil. Di samping itu, pautan yang diberikan oleh guru juga selalu sukar diakses dan tersekat-sekat disebabkan oleh masalah kehabisan data ketika PdPR. Malah, para pensyarah dan guru juga ada yang tidak konsisten dan gemar bertukar-tukar platform media sosial dan medium dalam mengendalikan PdPR.

Sebagai contohnya, ada masanya mereka menggunakan platform WhatsApp, kemudian bertukar kepada Telegram dan Google Classroom. Medium pembelajaran juga berubah-ubah, daripada aplikasi Zoom kepada Google Meet dan panggilan video. Perkara ini turut memaksa ibu bapa untuk mempelajari setiap platform yang digunakan bagi membimbing anak-anak masing-masing semasa PdPR.

Maka jelaslah bahawa, selain sedikit manfaat PdPR, terselit pelbagai cabaran bukan sahaja kepada pelajar dan murid, malah kepada pensyarah, guru dan ibu bapa. Walau bagaimanapun, keadaan semasa pandemik Covid-19 tidak memungkinkan untuk pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dijalankan. Maka, semua pihak perlu berganding bahu dalam memastikan PdPR berkesan kepada pelajar dan murid.

Pihak kerajaan juga mestilah sentiasa menyediakan segala kemudahan dan gajet terutama kepada pelajar dan murid yang tidak berkemampuan sekiranya keadaan memaksa PdPR kembali dilaksanakan semula pada masa mendatang. Ibu bapa juga perlu berkorban masa untuk memantau sesi PdPR anak-anak mereka.

Begitu juga para pensyarah dan guru, mestilah sentiasa peka dengan masalah yang dialami oleh pelajar dan murid mereka. Pensyarah dan guru mestilah sentiasa bersedia memberi bimbingan kepada pelajar dan murid mereka sepanjang PdPR agar objektif pengajaran dan pembelajaran tercapai sepenuhnya. — Majoriti

Professor Madya Dr Faridah Nazir, Ketua Jabatan Bahasa Melayu Untuk Komunikasi Antarabangsa, Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram