Haramkan homestay hanya mahu selamat industri hotel


  • Massa
  • Sabtu, 30 Apr 2022

Pengharaman homestay hanya akan menjejaskan sumber pendapatan dan ekonomi setempat yang bergantung kepada industri itu. — Gambar hiasan

PERANCANGAN untuk mengharamkan penawaran homestay atau rumah inap oleh kerajaan negeri Pulau Pinang terhadap pengusaha inap desa tempatan hanya akan menjejaskan sumber pendapatan dan ekonomi setempat yang bergantung kepada industri itu.

Seorang pengusaha homestay di Taman Pauh, Permatang Pauh dikenali sebagai Ibrahim berpendapat, cadangan yang akan diperkenalkan untuk hartanah bertanah dan berstrata itu juga dikhuatiri menyumbang kepada unit rumah tidak terjual sekali gus merencatkan pembelian hartanah bagi tujuan pelaburan.

"Saya tidak bersetuju jika cadangan tersebut dilaksanakan. Seperti dinyatakan, (rancangan) itu untuk menyelamatkan industri pelancongan, tapi saya rasa sebenarnya lebih kepada nak selamatkan industri perhotelan yang terjejas teruk.

"Kalau percutian di hotel dalam jumlah tetamu yang ramai, berapa banyak bilik hotel yang mampu untuk menampung dengan kadar harga yang ditawarkan juga mungkin tidak begitu berbaloi," katanya kepada Majoriti.

Terdahulu laporan FMT menyebut, Pulau Pinang dilaporkan sedang merancang untuk mengharamkan penawaran homestay dalam memberi keselesaan kepada penduduk setempat.

Exco negeri, Jagdeep Singh Deo dilaporkan berkata, walaupun tempoh pengharaman itu belum diputuskan, kerajaan negeri sudah bersetuju dengan rancangan itu, berdasarkan pelbagai aduan daripada kumpulan penduduk.

Katanya, garis panduan itu, antara lain, akan memberi kuasa kepada badan pengurusan pangsapuri, kondominium atau sebarang hartanah berstrata mengambil tindakan terhadap pemilik rumah ingkar yang membenarkan penyewaan jangka pendek.

Satu lagi garis panduan akan diperkenalkan untuk hartanah bertanah, sementara menunggu isu perundangan yang perlu diselesaikan.

Sementara itu, Ibrahim berkata, kerajaan negeri harus sedar cara rakyat Malaysia bercuti sekarang sudah berubah tahun demi tahun.

"Kalau dulu istilah penginapan di hotel dikira bercuti tapi hari ini, istilah bercuti bukan seperti itu lagi.

"Istilah bercuti sekarang adalah berhimpun dan buat aktiviti secara bersama, mungkin memasak, makan bersama, kalau homestay ada kolam renang ada nilai tambah jadikan aktiviti percutian itu lebih bermakna," katanya.

Menurutnya, kalau nak selamatkan industri perhotelan, pelbagai cara lain mungkin boleh dilaksanakan antaranya memberi satu perkhidmatan dengan nilai tambah selain memberi penawaran harga bilik yang lebih rendah bergantung kepada teknik pemasaran masing-masing.

"Banyak kaedah mereka boleh terokai untuk selamatkan industri perhotelan tetapi tak perlu sampai menjejaskan pengusaha homestay.

"Ada dalam kalangan kami buat bisnes homestay ini secara santai-santai sahaja cukup untuk bayar ansuran, cukai pintu, bil utiliti dan sebagainya," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram