PADA Khamis akan menyaksikan debat antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur.
Dalam kehangatan menanti hari esok, ramai netizen mengambil peluang melontarkan pandangan masing-masing terhadap pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin ternama itu.
Seorang pengguna Facebook, Azman Jamaludin berpendapat, perbahasan itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia memperlihat perpecahan dan percakaran dua pihak demi mendapatkan kuasa.
Antara komen netizen terhadap acara perbahasan antara Najib dan Anwar esok. — Facebook
"Suatu benda yang tidak sepatutnya berlaku kerana kita memperlihatkan perpecahan dan percakaran sesama sendiri demi kuasa.
"Lantas bangsa lain akan mentertawakan kita dan mengambil kesempatan atas kelemahan kita. Akhirnya siapa yang rugi?," persoalnya menerusi satu hantaran komen di Facebook.
Shyafiq Hassan pula mempersoalkan sama ada debat itu akan memberi manfaat kepada rakyat di negara ini yang sedang sebahagian besarnya masih bergelut dengan krisis ekonomi dan Covid-19.
"Selepas debat ini apa yang rakyat Malaysia dapat? Harga barang turun? Kos sara hidup rendah? Rakyat miskin berkurangan?" persoalnya.
Debat Perdana antara Najib dan Anwar antara lain akan menyaksikan kedua-dua pemimpin berkenaan berhujah mengenai isu Sapura Energy Sdn Bhd (SEB) selain turut merangkumi isu masa depan Malaysia dari aspek ekonomi, politik, urus tadbir dan hala tuju negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram