Anak kerat 15 ibu disyaki mental, bau busuk luar biasa bongkar penemuan mayat dalam loji kumbahan


  • 112
  • Ahad, 05 Jun 2022

Lokasi kediaman ibu disyaki dikerat 15 bahagian oleh anaknya sendiri di Taman Kerian, Parit Buntar. — Gambar ihsan pembaca/Facebook

SUSPEK yang bertindak membunuh dan mengerat ibu kandungnya kepada 15 bahagian di Taman Kerian, Parit Buntar, Perak dipercayai mempunyai masalah mental.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihak polis pada awalnya menjalankan siasatan kes orang hilang selepas salah seorang anak mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan ibunya pada 28 Mei.

Menurutnya, suspek memaklumkan kepada ahli keluarga lain bahawa ibunya keluar rumah dan masih tidak pulang ke rumah.

"Ketua Polis Balai Parit Buntar telah pergi ke rumah ini dan ketika itu, keadaan rumah tidak terurus dengan bau tidak menyenangkan memandangkan mangsa dan suspek menjalankan urusan beli barang terpakai. Namun semalam, polis menerima panggilan daripada jiran yang mengatakan ada bau busuk luar biasa menyebabkan pihak polis sekali lagi ke tempat kejadian.

"Bila polis pergi ke bahagian belakang rumah itu, ada papan baru digunakan untuk menutup saluran lubang najis yang menempatkan mayat mangsa," katanya pada Ahad.

Mior Faridalathrash berkata, siasatan pihak forensik juga turut menemui senjata yang digunakan oleh suspek untuk membunuh ibunya.

Menurutnya, suspek memukul kepala mangsa terlebih dahulu sehingga pengsan sebelum dikerat beberapa bahagian.

"Polis percaya dan yakin suspek ada masalah mental. Suspek telah ditahan semalam (Sabtu) dan polis akan mendapatkan perintah reman pagi ini (Ahad).

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan selepas siasatan selesai, polis akan menunggu arahan selanjutnya daripada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya," katanya.

Menerusi laporan media sebelum ini, seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki membunuh ibu kandungnya dan membuang mayat ke dalam tangki kumbahan di Taman Kerian, Parit Buntar.

Pihak polis menerima laporan mengenai penemuan potongan daging dipercayai anggota badan manusia kira-kira pukul 3.30 petang pada Sabtu. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram