WANITA hamil tujuh bulan, Farrah Emirah Mazlan, 26, yang maut ditembak di perut pada Sabtu merupakan ibu tunggal tiga anak berusia tiga hingga 10 tahun.
Nenek mangsa, Zawiyah Sulong, 68, berkata, sejak berpisah dengan suami pada Februari lalu ketiga-tiga anak mereka dijaga oleh Farrah Emirah.
"Sehingga sekarang saya masih terkejut dengan apa yang berlaku kerana saya menjaga Farrah Emirah dia masih bayi lagi.
"Lebih memeritkan lagi apabila terkenangkan cicit yang masih kecil dan mereka belum mengetahui ibu sudah meninggal dunia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pasir Mas, Kelantan pada Sabtu.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu Farrah Emirah pada Jumaat, sebelum cucunya itu keluar dari rumah untuk berurut.
Katanya, arwah sempat meminta kain batik sarung selain tertinggal kunci kereta sebelum berpatah balik ke dalam rumah untuk mengambilnya.
Zawiyah berkata, dia mula bimbang keadaan Farrah Emirah apabila cucunya tidak pulang selepas pukul 10.30 malam Jumaat.
"Saya beberapa kali membuat panggilan telefon namun dia gagal dihubungi
"Sehinggalah pada esoknya (Sabtu) saya bawa ketiga-tiga cicit menaiki kereta bersama anak ke beberapa lokasi di sekitar Pasir Mas dan Rantau Panjang mencari Farrah Emirah tetapi gagal," katanya.
Menurutnya, pada pukul 4.30 petang ada penduduk datang ke rumah di Bukit Lata, Rantau Panjang memberitahu arwah yang ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta di Kampung Teresek, Repek, Pasir Mas.
Dia terus bergegas ke lokasi dan luluh hatinya apabila melihat Farrah Emirah sudah tiada dan bahagian perut dipenuhi darah.
Katanya, sebelum kejadian itu Farrah Emirah ada membuat pemeriksaan kandungan dan gembira memaklumkan yang dia sedang mengandung bayi lelaki.
Zawiyah berkata, pemergian cucunya itu sangat tragis dan berharap pihak berkuasa dapat mencari pelaku yang sanggup melakukan sedemikian kepada cucunya yang sedang sarat mengandung.
"Selepas urusan bedah siasat siap dijalankan, jenazah akan dikebumikan di kampung sebelah ibunya di Chenerai, Chetok," katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram