Adakah Najib bersedia untuk ke penjara?  — Lim Kit Siang


  • Politik
  • Ahad, 22 Mei 2022

Kit Siang mempersoal kesediaan Najib untuk masuk penjara kerana mencemarkan nama negara di seluruh dunia.

PEMIMPIN veteran DAP, Lim Kit Siang bersedia untuk ke penjara susulan kenyataannya sebelum ini yang memberikan amaran supaya Malaysia tidak menjadi seperti Sri Lanka.

Bagaimanapun, pada masa sama, beliau menegaskan tindakannya itu tidak membawa maksud dan berniat untuk menghasut sesiapa, mana-mana kelas atau komuniti.

“Saya juga tidak mencipta atau memulakan apa-apa transmisi yang lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung dengan niat untuk mengganggu, mendera, mengugut atau mengganggu orang lain.

“Tetapi, saya bersedia untuk dipenjarakan kerana memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak menjadi satu lagi Sri Lanka. Adakah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersedia untuk ke penjara kerana mencemarkan nama negara di seluruh dunia sebagai kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk?” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, dalam hantaran media sosialnya, Kit Siang dilaporkan bertanya 'apakah rumah Perdana Menteri dan menteri akan dibakar oleh rakyat yang marah seperti mana di Sri Lanka'.

Kenyataan itu dilihat sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab yang bersifat anarkis dan satu sabotaj kepada ekonomi negara.

Susulan itu, polis telah memulakan siasatan terhadapnya di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan dengan niat untuk menghasut mana-mana orang atau kaum dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1988 kerana menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.

Sementara itu, Kit Siang berkata, untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan bukannya menjadi satu lagi Sri Lanka atau Filipina, Malaysia perlu kembali semula kepada prinsip-prinsip asas pembinaan negara bangsa yang telah dipersetujui oleh bapa pembangunan negara Tun Abdul Razak Hussein.

Ia sebagaimana yang ada di dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu monarki berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus baik, hormat kepada hak asasi manusia dan perpaduan masyarakat majmuk pelbagai kaum, bahasa, agama dan budaya.

“Bolehkah kita kembali kepada prinsip asas pembinaan negara ini setelah kita kehilangan arah dalam setengah abad yang lepas? Inilah cabaran yang dihadapi rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum Ke-15 yang perlu diadakan dalam tempoh setahun, sama ada tahun ini atau akan datang.

“Kita memerlukan aspirasi politik baru. Jika Najib menyayangi Malaysia, beliau akan menyumbang kepada proses mengembalikan Malaysia kepada prinsip asas pembinaan negara yang telah dipersetujui oleh tokoh pengasas negara, termasuklah bapanya, semasa Malaysia dibentuk.

“Ia termasuklah membantu menghilangkan ‘parut’ negara, di mana Malaysia dikenali dengan ‘kleptokrasi’ yang paling teruk” di seluruh dunia. Dalam keadaan ini, tiada apa yang Najib boleh lakukan lebih baik daripada untuk hilang begitu sahaja dari arena politik dan bukannya untuk cuba menjadi Perdana Menteri semula,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram