Najib dakwa Muhyiddin, PH hipokrit di depan PM


  • Politik
  • Isnin, 30 Mei 2022

Najib mencabar Muhyiddin untuk menunjukkan bukti bahawa beliau telah mendapat sokongan sebagai Perdana Menteri.

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pakatan Harapan (PH) telah mengingkari ikrar mereka untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob sekiranya benar Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba mendapatkan sokongan Ahli Parlimen bagi menyandang semula jawatan sebagai Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib Razak membangkitkan perkara itu, susulan dakwaan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal bahawa Muhyiddin telah bersetuju untuk berpakat dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyokong Presiden Bersatu itu sebagai Perdana Menteri.

Selain itu, Shafie mendakwa, Muhyiddin juga telah menghubunginya dua bulan lalu untuk mendapatkan sokongannya.

Lantaran itu, Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) meyakini bahawa Shafie tidak akan berbohong tentang perkara tersebut.

"Jika benar (maksudnya), secara zahirnya, PH telah menandatangai memorandum persefahaman (MoU) untuk menyokong kerajaan Ismail Sabri.

"Pada zahirnya, Bersatu juga menyokong Ismail Sabri. Tetapi di belakang pula, mereka senyap-senyap kumpul sokongan Ahli Parlimen untuk tumbangkan Ismail Sabri," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.

Pada masa sama, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut mencabar Muhyiddin untuk membuktikan bahawa beliau mendapat sokongan untuk menjadi Perdana Menteri.

"Jika sudah ada sokongan 119 Ahli Parlimen, maka dia patut tekan butang dengan segera. Malu apa, Abah kau? " soalnya.

Dalam satu majlis di Libaran, dekat Sandakan, Sarawak pada Ahad, Shafie mendakwa bahawa Muhyiddin memberitahunya bahawa beliau mendapat sokongan 119 Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 222 anggota.

Shafie juga mendakwa, beliau membincangkan perkara itu dengan Anwar Ibrahim, yang menurutnya bersetuju menyokong Muhyiddin.

"Saya beritahu dia (Muhyiddin), kalau awak ada nombor, teruskan, saya takkan ikut awak," katanya.

Media tempatan telah menghubungi beberapa pemimpin Bersatu untuk mengesahkan dakwaan Shafie serta masih menunggu jawapan.

Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri berikutan kejatuhan PH selepas Gerakan Sheraton pada Februari 2020.

Selepas hanya 17 bulan berkuasa, Muhyiddin meletakkan jawatannya pada Ogos tahun lalu, selepas sekumpulan Ahli Parlimen Umno yang diketuai Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik sokongan terhadapnya.

Ismail Sabri kemudiannya dilantik sebagai Perdana Menteri, dan menandatangani MoU untuk bipartisan dengan PH pada September bagi memulihkan kestabilan politik.

Umno telah memutuskan pada 14 April bahawa MoU itu tidak boleh dilanjutkan selepas tarikh akhir 31 Julai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram