Tiada lagi vaksin percuma kecuali 2 kumpulan kanak-kanak


  • Massa
  • Selasa, 31 Mei 2022

Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak menangguhkan vaksinasi Covid-19 untuk anak mereka.

SEORANG eksekutif perniagaan, yang hanya mahu dikenali sebagai Annie, mengambil cuti daripada bekerja hari ini. Wanita berusia 37 tahun itu mahu memastikan anak perempuannya yang berusia enam tahun mendapat dos pertama vaksin Covid-19 sebelum tarikh akhir.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids) kerajaan akan berakhir pada Selasa.

Annie adalah salah seorang daripada ibu bapa yang mengamalkan sikap tunggu dan lihat terhadap vaksinasi untuk kanak-kanak, dan selepas berfikir panjang, dia merasakan bahawa imunisasi itu adalah penting.

"Beberapa anak kawan saya mendapat suntikan dan mereka semua baik-baik saja. Sekarang keadaan semakin terbuka, saya fikir adalah baik untuk mengambil langkah berjaga-jaga. Saya akan pergi ke Klink Kesihatan bagi mendapatkan vaksin," katanya.

Masih ramai ibu bapa seperti Annie yang teragak-agak untuk mendapatkan vaksin buat anak-anak mereka. Begitupun dengan berbaki beberapa jam sebelum tarikh akhir, mereka digesa merebut peluang untuk memastikan anak-anak yang tidak divaksinasi mendapat dos pertama masing-masing.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, dos pertama vaksin Covid-19 tidak lagi diberikan secara percuma selepas Selasa.

Bagaimanapun, akan ada pengecualian untuk dua kumpulan iaitu mereka yang belum mencapai usia lima tahun antara 31 Mei hingga 31 Disember dan kanak-kanak yang dijangkiti atau mempunyai ibu bapa yang dijangkiti Covid-19 baru-baru ini.

Mereka yang telah menangguhkan vaksinasi mereka kerana jangkitan boleh mendaftar melalui MySejahtera untuk janji temu atau pergi ke Klinik Kesihatan berhampiran bagi mendapatkan dos percuma.

“Tarikh terakhir bagi kedua-dua kumpulan untuk mendapatkan dos pertama ialah 31 Januari 2023,” katanya.

Kanak-kanak yang belum divaksin dengan dos pertama perlu membayar untuk mendapatkan di fasiliti penjagaan kesihatan swasta.

“Fasiliti itu boleh menentukan kos vaksin. Pada masa ini, mereka hanya boleh memberi vaksin Coronavac (Sinovac),” kata Dr Noor Azmi, yang juga pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 untuk Kanak-kanak (CITF-C).

Beliau berkata, harga vaksin itu sepatutnya selaras dengan harga siling, tetapi klinik boleh mengenakan bayaran untuk perkhidmatan, konsultasi, bahan habis pakai dan barangan lain.

Harga siling bagi vaksin Sinovac dihadkan pada RM77 pada peringkat runcit dan RM62 pada peringkat borong.

Bagaimanapun, semakan dengan kumpulan penjagaan kesihatan swasta menunjukkan bahawa masih belum ada keputusan mengenai harga vaksinasi.

Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Malaysia, Dr Raj Kumar Maharajah menasihatkan ibu bapa tidak menangguhkan vaksinasi Covid-19 untuk anak mereka.

Sementara itu, seorang ibu yang enggan namanya disiarkan berkata, dia lega kerana kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 masih mempunyai pilihan untuk menerima suntikan di klinik kesihatan kerajaan.

“Saya gembira kerana masih boleh membawa anak saya ke Klinik Kesihatan untuk suntikan. Doktor menasihatkan untuk mengambil suntikan beberapa minggu selepas pulih.

"Kami tidak menangguhkan vaksinasi dengan sengaja. Ia berlaku kerana Covid-19," katanya.

Seorang lagi ibu hanya mahu dikenali sebagai Noor berkata, dia memilih untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana dia tidak terlalu yakin untuk memberi vaksin kepada anak-anaknya.

"Saya tidak tahu sama ada anak-anak boleh mengambil vaksin tetapi saya fikir jika saya memutuskan untuk memberi mereka vaksin, saya perlu membayarnya," tambah kata Noor.

Sejumlah 1.16 juta kanak-kanak atau 32.9 peratus telah diberi vaksin sepenuhnya sejak program PICKids bermula pada 3 Februari manakala 1.71 juta lagi atau 48.3 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram