PERSATUAN Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma) akan memulakan tindakan undang-undang terhadap sebuah penerbitan selepas dituduh mengendalikan restoran secara kartel.
Menafikan dakwaan itu, Presiden Presma, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, semua pemilik restoran beroperasi sendiri dan bukannya melalui kartel seperti yang didakwa.
“Presma menafikan sekeras-kerasnya artikel yang mendakwa pemilik restoran mamak mengamalkan corak perniagaan berbentuk kartel dengan memberi modal kepada peniaga lain membuka kedai makan.
“Dakwaan sedemikian adalah tidak berasas sama sekali kerana pemilik restoran, sama ada baru berniaga atau menambah rangkaian perniagaan dengan inisiatif dan usaha sendiri, tidak ditentukan oleh kartel seperti yang diterangkan.
“Kenyataan sebegitu menjejaskan imej dan reputasi pengusaha restoran mamak yang dikenali sejarah sejak bertapak di negara ini sejak sekian lama.
“Mengambil kira pandangan banyak pihak dan nasihat peguam, Presma akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar itu.
“Laporan polis akan dibuat bagi meminta siasatan segera terhadap penerbitan itu kerana memberikan maklumat tidak betul dan menjejaskan imej orang lain khususnya industri restoran mamak,” kata Jawahar dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, Presma turut menyeru rakan media supaya lebih berhati-hati dengan sebarang penulisan dan komen agar tidak tersasar daripada fakta yang boleh membawa kepada implikasi undang-undang.
“Presma menghargai kerjasama baik rakan media yang membantu menonjolkan peranan yang dimainkan persatuan ini dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada masyarakat dan pelanggan setia kami,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram