Penjawat awam gigit isteri kena cekup, tak puas hati wang bantuan guna beli susu anak


  • 112
  • Rabu, 25 Mei 2022

Tangkap layar gambar seorang wanita yang mendakwa dipukul suaminya dan tular di Twitter pada Selasa. — Twitter

SEORANG penjawat awam diberkas polis pada Selasa kerana dikatakan melakukan khianat serta menggigit lengan isterinya sehingga cedera sekitar hujung tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, suspek berumur 23 tahun diberkas susulan laporan polis dibuat isterinya.

Menurutnya, suspek dikatakan bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan isterinya yang ingin membawa anak mereka bermalam di hotel untuk menenangkan fikiran.

"Berlaku pergelutan di antara mereka sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa dalam kejadian tersebut

"Suspek juga dilaporkan telah memecahkan telefon bimbit isterinya kerana tidak berpuas hati dengan tindakan isterinya yang ingin menggunakan wang Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) untuk membeli susu anak mereka," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, kes berkenaan merupakan kes lama berdasarkan laporan polis yang dibuat pada Disember tahun lepas dan Januari tahun ini.

download (1)

Tangkap layar hantaran seorang wanita di Twitter yang mendakwa dipukul oleh suaminya yang tular pada Selasa. — Twitter

Tambahnya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya Sarawak untuk tindakan lanjut,”katanya.

Terdahulu di Twitter, seorang pemilik akaun @Nabilahismah memuat naik beberapa hantaran dipercayai berkaitan kes ini semalam sehingga tular apabila diulang ciap lebih 15,000 kali.

Wanita itu mendakwa, dia pernah menarik laporan polis yang dibuatnya atas desakan orang sekeliling.

Selain turut berkongsi ‘gambar kecederaannya’, wanita itu juga menceritakan kronologi kes dengan suspek yang kini merupakan bekas suaminya.

Akaun Twitter berkenaan bagaimanapun telah dinyahaktif. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram