Polis mula siasat kes pelajar gengster gaduh ala filem Crows Zero di Sandakan


  • 112
  • Rabu, 25 Mei 2022

Tangkap layar video aksi pelajar bergaduh yang tular di media sosial sejak Selasa. — Facebook

POLIS Sabah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan susulan pergaduhan sekumpulan pelajar di Jalan Elopura, Sandakan, pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, siasatan awal pihak polis mendapati pergaduhan tersebut juga telah berlaku di Jalan Elopura, Sandakan.

"Punca pergaduhan serta usaha bagi mengenal pasti individu yang terlibat juga sedang dijalankan oleh pihak polis," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh tampil ke balai terdekat atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Micheal Goh di talian 0168741216 atau 089-203223 bagi menyalurkan maklumat berkenaan.

Majoriti pada Selasa melaporkan satu rakaman video pergaduhan beramai-ramai sesama pelajar sekolah menengah tular di media sosial sejak Selasa.

Menerusi video berdurasi 22 saat itu, sekumpulan pelajar dilihat melakukan aksi tendangan dan tumbukan antara satu sama lain, dalam kejadian yang dipercayai selepas sesi persekolahan.

Meskipun terdapat beberapa orang dewasa yang cuba meleraikan pergaduhan itu, para pelajar terbabit masih berdegil untuk bersurai.

Pergaduhan itu tetap diteruskan sehingga terdengar suara seorang lelaki yang menjerit dan menyeru nama 'polis'. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram