4 pelajar mengaku bersalah buli pelajar tingkatan 1 di Seremban


Empat pelajar lelaki didakwa di Mahkamah Majistret pada Isnin. — Sinar Harian

EMPAT pelajar lelaki di sebuah sekolah di Seremban mengaku salah di Mahkamah Majistret di Seremban, Negeri Sembilan pada Isnin atas pertuduhan menyebabkan cedera ke atas seorang pelajar Tingkatan Satu sekolah sama pada 13 Mei lepas.

Kesemua tertuduh berusia 15 hingga 16 tahun membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 22 Jun ini untuk pendengaran laporan akhlak bagi kesemua tertuduh sebelum hukuman dijatuhkan.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera ke atas seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun, dengan cara memukulnya di bilik asrama sebuah sekolah di Seremban pada 12 tengah malam pada 13 Mei lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Hukuman bagi seksyen tersebut memperuntukkan penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

buli, pelajar, Seremban, cedera, pukul