Polis terima 4 laporan, keterangan 30 pelajar diambil kes buli pelajar SMA Nilai


  • 112
  • Selasa, 17 Mei 2022

Kesan lebam dan kecederaan pada kaki dua orang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah berasrama penuh di Labu, Seremban yang didakwa dipukul dengan penyangkut baju dan kayu penyapu oleh pelajar senior.

SERAMAI 30 pelajar sebuah sekolah berasrama penuh telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes buli melibatkan pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah menengah agama (SMA) berasrama penuh di Labu, Nilai, Negeri Sembilan

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, ia susulan terdapat empat laporan polis diterima setakat ini berkenaan kejadian terbabit.

"Sehingga jam 2 petang tadi, seramai 30 pelajar telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

"Enam pelajar dibenarkan reman sehari dan dibebaskan jam 5 petang tadi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, tiga pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah berasrama penuh di Nilai terpaksa menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban selepas dipercayai dibuli pelajar senior.

Tiga pelajar berusia 14 tahun itu menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) kerana kecederaan di beberapa bahagian badan.

Mohd Fazley dilaporkan berkata, siasatan dibuka mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram