PIHAK polis sedang menyiasat kes buli melibatkan seorang remaja yang dicucuh puntung rokok oleh rakan-rakannya di Serpong, Tangerang Selatan, Indonesia pada Ahad lalu.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Tangsel Selatan, Asisten Komisioner Aldo Primananda Putra berkata, terdapat lapan remaja disyaki menjadi suspek kes buli tersebut.
Namun, katanya, ketika ini hanya empat suspek disoal siasat dengan ditemani oleh ibu bapa masing-masing.
"Kami berbincang dengan penduduk setempat dan ibu bapa suspek yang kemudian datang ke balai polis untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Aldo berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada ibu bapa mangsa berhubung kes itu dan difahamkan, mangsa dan suspek adalah jiran dan rakan sepermainan.
Katanya, pihaknya sedang meminta maklumat daripada suspek untuk mengetahui kronologi kejadian itu.
Mengulas mengenai dakwaan bahawa mangsa merupakan seorang orang kurang upaya (OKU), Aldo berkata, perkara itu adalah tidak benar.
Menurutnya lagi, mangsa merupakan seorang remaja berumur 16 tahun dan belajar di salah sebuah sekolah awam di Tangerang Selatan," katanya.
Katanya, keadaan kesihatan mangsa kini stabil dan menerima bantuan pemeriksaan psikologi supaya tidak mengalami trauma.
Sebelum ini, tular sebuah video di media sosial memaparkan lidah mangsa melecur akibat dicucuh puntung rokok.
Dalam video itu, mangsa menceritakan bahawa dia juga ditikam menggunakan pemutar skru dan pisau namun tidak berani melaporkan perkara itu kepada ibu bapanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram