Kerajaan benar import lembu dari Thailand bagi ibadah korban


  • Primer
  • Jumaat, 20 Mei 2022

Malaysia sebelum ini menghentikan aktiviti mengimport lembu dari Thailand bagi mengelakkan berlakunya penularan penyakit LSD. — Agensi

KERAJAAN membenarkan aktiviti mengimport lebih 12,000 lembu hidup khususnya dari Thailand, bagi ibadah korban tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 (Mafi), Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, bagaimanapun ia perlu mengikut syarat-syarat tertentu.

Menurutnya, sebelum ini negara menghentikan mengimport tersebut bagi mengelakkan berlakunya penularan penyakit kulit kental (LSD) yang sedang melanda Thailand ketika itu.

"Tetapi setelah kita membuat tinjauan dan juga mesyuarat dengan mereka (Thailand) Mac lalu, kita setuju untuk membenarkan (import) pada 2022.

"Ini bagi kemasukan untuk ibadah korban dan tujuan pembelaan yang lain,” katanya dalam sidang media Sambutan Hari Lebah Sedunia 2022 di Auditorium Rashdan Baba Universiti Putra Malaysia, di Serdang, Selangor pada Jumaat.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Tengku Syarif Laksamana Perlis Datuk Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail dan Dekan Fakulti Pertanian merangkap Pengarah Sambutan Hari Lebah Sedunia 2022, Profesor Madya Dr Nur Azura Adam.

Pada 27 Jun lalu, Mafi memutuskan semua aktiviti mengimport lembu hidup khususnya dari Thailand dihentikan dalam usaha menyelamatkan ternakan tempatan bagi tempoh jangka panjang.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pengimportan tersebut perlu menepati syarat dengan mengesahkan lembu itu bebas daripada penyakit LSD dan penyakit kuku dan mulut (FMD).

"Sebelum masuk untuk penyembelihan, lembu itu perlu dikuarantinkan sehingga 28 hari manakala lembu tesusu 35 hari. Barulah kita akan benarkan, itu pun setelah mendapatkan sijil pengesahan daripada negara Thailand," ujarnya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram