Kelulusan import daging lembu Thailand dijamin selesai dalam masa terdekat


  • Massa
  • Khamis, 10 Mac 2022

KELEWATAN mengimport lembu dari Thailand dikhuatiri akan menjejaskan harga daging tempatan menjelang Aidilfitri. — Facebook

KELULUSAN pengimportan semula lembu dari Thailand ke Malaysia sehingga kini belum lagi diumumkan walaupun sudah jauh melebihi tarikh yang sepatutnya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Noorlizan Mohd Noor memaklumkan yang pengimportan semula lembu Thailand dijangka bermula pada Februari lalu.

Namun memasuki minggu pertama Mac, masih belum ada lagi keputusan rasmi sedangkan permintaan daging lembu terutamanya menjelang ketibaan Ramadan dan Aidilfitri sudah mula meningkat.

Malah, penternak dan pembekal daging juga sudah menyatakan kerisauan kerana sebarang kelewatan akan mempengaruhi harga daging tempatan.

Begitupun, Noorlizan berkata, proses kelulusan sudah berada di peringkat akhir.

"Kami akan maklumkan status terkini dalam masa terdekat. Proses kelulusan sudah berada di fasa akhir.

"Insya-ALLAH isu (kelulusan import lembu Thailand) akan selesai dalam masa terdekat," katanya kepada Majoriti.

Noorlizan bagaimanapun tidak boleh memberi tarikh terperinci kerana sedang menjalani kuarantin selepas dijangkiti Covid-19.

Ditanya mengapa berlaku kelewatan, jelas Noorlizan, ada beberapa siri rundingan yang perlu dilakukan dengan pihak berkuasa di Thailand.

"Ada rundingan antara pihak kami dengan pihak berkuasa veterinar Thailand yang dilakukan untuk perakuan penyakit simptom-simptom penyakit kulit kental atau Lumpy Skin Disease (LSD)," katanya.

Untuk rekod, sebelum ini terdapat beberapa laporan mengenai ternakan dalam stesen kuarantin yang mempunyai simptom-simptom LSD pada April tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram