Budak maut digilis treler depan ibu di Bukit Mertajam


  • 112
  • Jumaat, 20 Mei 2022

Mangsa berusia 10 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah. — Orang awam

SEORANG murid perempuan Tahun Empat maut selepas motosikal dinaiki bersama ibunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Jalan Kampung Baru, Alma, dekat Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang membonceng motosikal itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas terlibat dalam kemalangan kira-kira pukul 1.45 tengah Khamis.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku motosikal yang ditunggang ibu kanak-kanak itu hilang kawalan, menyebabkan kedua-dua mereka terjatuh di atas jalan raya.

"Wanita berusia 30-an itu sempat menyelamatkan diri sebaik terjatuh manakala anaknya yang membonceng, digilis oleh lori treler yang datang dari arah sama, dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Bukit Mertajam untuk dibedah siasat, manakala ibunya yang mengalami kecederaan ringan dirawat di hospital sama.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram