LIMA pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang rentung dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer (Km) 246 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara, di sini, tengah malam Rabu bakal menduduki peperiksaan tiga minggu lagi.
Naib Canselor USAS, Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi berkata, ketika ini sesi pengajaran dan pembelajaran di universiti itu sudah hampir selasai dengan pelajar bakal menghadapi peperiksaan akhir semester pada hujung Mei ini.
"Lagi tiga minggu peperiksaan akhir semester dan kesemua pelajar baru kembali semula ke kampus kira-kira seminggu lalu selepas cuti Aidilfitri," katanya.
Lima pelajar itu dikenal pasti Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.
Muhammad Nasrun dan Iqbal Hasun pelajar Sarjana Muda Pengajian Islam; Ahmad Naim Najmi (Sarjana Muda Kaunseling); Muhammad Nabil Haikal (Diploma Pentadbiran Perniagaan) dan Ahmad Akmal (Diploma Kaunseling Islami).
Nordin berkata, semua pelajar itu difahamkan sedang keluar kawasan atau 'outing' ke Ipoh menaiki kereta yang disewa memandangkan tiada kelas pembelajaran semalam.
Katanya lagi, pihak USAS sedia menghulurkan bantuan kepada waris kesemua mangsa dari sudut menampung penginapan dan makan minum sepanjang proses pengurusan jenazah di Kuala Kangsar, selain turut sama terbabit dalam pengurusan jenazah.
"Insya-Allah, USAS akan urusakan apa juga berkaitan jenazah dengan pihak hospital. Ibu bapa mereka semua juga sudah dihubungi. Bantuan diruskan USAS termasuk dalam hal ehwal takaful insurans berkelompok pelajar.
"Jika urusan jenazah tidak sempat diselesaikan hari ini, USAS akan menanggung biaya perbelanjaan waris mereka sepanjang menguruskan jenazah di Kuala Kangsar," katanya.
Muhammad Nasrun berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor; Ahmad Naim Najmi dari Chukai, Terengganu; Iqbal Hasnun dari Senai, Johor; Muhammad Nabil Haikal dari Batu Caves, Selangor dan Ahmad Akmal dari Parit Buntar, Perak. — Berita Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram